Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Ops Menu: Empat Restoran Di Terengganu Dikompaun

KUALA NERUS, 30 Nov (Bernama) — Empat restoran di negeri ini dikompaun keseluruhan RM1,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menerusi Ops Menu yang bermula 6 Nov lepas.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata kesemua premis di Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun itu antara 346 restoran dan kedai makan yang diperiksa di seluruh negeri menerusi operasi terbabit.

“Dua daripada restoran tersebut dikompaun kerana menggunakan timbangan yang tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan manakala dua lagi gagal meletak tanda harga pada menu makanan.

“Operasi ini menyasarkan restoran serta kedai makan yang menjual makanan sedia masak, makanan laut atau yang mengamalkan prinsip timbangan dalam mengenakan caj bayaran,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi berkenaan di sebuah restoran di sini hari ini.

Saharuddin berkata pihaknya akan menggandakan pemantauan oleh 119 anggota penguat kuasa dan 59 pegawai pemantau harga di seluruh negeri sempena cuti sekolah bermula 11 Dis ini.

Beliau sehubungan itu memberi amaran kepada peniaga supaya tidak sewenang-wenang mengambil kesempatan menaikkan harga barang termasuk makanan terutama kepada pelancong luar.

“Jangan ambil kesempatan kepada pelancong kerana ia akan menjejaskan imej negeri dan memberi kesan kepada sektor ekonomi negeri dalam jangka panjang.

“Kepada pengguna pula, jika berlaku manipulasi harga sila laporkan secara rasmi kepada pihak kami (KPDNHEP) dan elakkan daripada menularkan menerusi media sosial,” katanya sambil menggesa pengguna di negeri ini memanfaatkan aplikasi Price Catcher untuk membuat perbandingan harga.

Sumber: BERNAMA

" "