Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dilapor maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 23, Jalan Kuantan-Kemaman pada awal pagi Selasa, lapor Sinar Harian.
Nahas yang berlaku kira-kira pukul 1.3o pagi itu mengakibatkan mangsa, Tengku Ahmad Danial Haiqal Tengku Abdul Aziz disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu memetik Sinar Harian berkata, pemandu lori terbabit yang berusia 35 tahun serta kelindannya, 40, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku ketika pemandu lori bersama kelindannya itu dalam perjalanan dari Selangor menuju ke Kuala Terengganu.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal dari arah bertentangan hilang kawalan lalu masuk ke laluannya dan melanggar bahagian depan lori.
“Akibat kejadian, penunggang motosikal yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baging di sini maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Tambah Wan Mohd Zahari, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, laman Facebook rasmi Polis Trafik Kuantan turut berkongsi maklumat ringkas berserta gambar kejadian tersebut pagi tadi.
“30 November 2021, jam lebih kurang 0140 hrs, BSPTD IPD Kuantan terima maklumat satu kemalangan maut berlaku di KM 23, Jalan Kuantan-Kemaman melibatkan (1) buah M/Lori dan (1) buah M/Sikal.
“Seorang mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat dan siasatan lanjut.
“Marilah kita sama-sama mematuhi peraturan lalulintas agar kita semua terhindar dari perkara yang tidak diingini seperti kemalangan jalanraya.
” Kita berdoa semoga kita dijauhkan dari segala bala bencana dan semoga kita, keluarga kita, negara kita sentiasa dalam keadaan selamat, aman dan sejahtera,” maklum perkongsian itu.
Sumber: Sinar Harian / FB rasmi Polis Trafik Kuantan