Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Perak Peruntuk RM3.1 Juta Untuk Kempen Kebun Kita

IPOH, 30 Nov (Bernama) — Kerajaan Perak memperuntukkan RM3.1 juta bagi kempen ‘Kebun Kita’ sebagai usaha menggerakkan agenda memperkasa aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kempen melalui Jabatan Pertanian Perak itu menyasarkan 7,657 individu dan 147 komuniti di negeri ini.

“Setiap komuniti melibatkan 10 peserta dan jumlah keseluruhan bagi peserta komuniti adalah 1,470 orang. Ini menjadikan jumlah keseluruhan peserta bagi kempen ini adalah 9,127 orang.

“Sekiranya satu rumah mempunyai empat isi rumah bermakna program ini memberi manfaat kepada lebih 36,508 orang di negeri ini,” katanya selepas merasmikan petak promosi pertanian bandar berhampiran kediaman Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi kempen tersebut, peserta individu dibekalkan dengan barangan seperti pasu, benih sayur antaranya bayam, cili, bendi dan kangkung, baja, bahan tanaman berserta manual tanaman manakala peserta komuniti pula dibekalkan dengan set sistem fertigasi, baja, tanah, kotak tanaman dan lain-lain set perkebunan.

Saarani berkata kempen tersebut bertujuan menggalakkan dan membudayakan rakyat di negeri itu untuk menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan di halaman rumah.

Menurutnya memandangkan harga sayur-sayuran ketika ini yang naik secara mendadak, beliau sememangnya menggalakkan rakyat Perak menanam sendiri sayur-sayuran di rumah.

“Pada zaman dahulu masyarakat tidak susah hendak mencari sayur sebab buka pintu dapur rumah sudah ada serai, daun kari, semua ada di halaman rumah.

“Jadi, sekiranya kita berbuat begitu tidak perlu lagi permintaan untuk mendapatkan bekalan sayur dari negara luar kerana kita sendiri sudah boleh menyediakannya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story