Siakap Keli
Gambar Via Detik.com/CNN Indonesia

(Video) Terbang Megah Di Langit Bali, Indonesia Uji Teksi Terbang Pertama Negara

Tidak mahu ketinggalan dalam industri pengangkutan masa depan, Indonesia baru-baru ini dilaporkan secara rasmi memperkenalkan teksi terbang dalam satu acara  penerbangan percubaan di Bali.

Menurut Detik.com, teksi yang dikenali sebagai EHang 216 itu dibawa ke Indonesia oleh pengasas Prestige Motocars, Rudy Salim.

“Hasilnya sangat sempurna dan semuanya berjalan dengan lancar,” kata Rudy kepada Detik.com.

Sejak minggu lalu, EHang 216 telah melakukan dua ujian penerbangan iaitu yang pertama pada 25 November yang dilangsungkan secara tertutup.

Ujian yang kedua pula diadakan pada 26 November yang dibuka kepada orang awam.

Dalam ujian penerbangan tersebut, EHang telah mengelilingi langit Bali mengikut laluan yang dibenarkan oleh Direktorat Navigasi Penerbangan untuk menunjukkan kawalan dan penyelarasan yang tepat dari pusat arahan.

“Demo peringkat pertama ini dilakukan tanpa penumpang atau kargo. Sebelum melakukannya, kami perlu melatih kru kami selama 2 minggu dahulu. Mereka yang terlibat adalah juruterbang dan jurutera kanan yang berpengalaman dalam dunia penerbangan.

“Tujuan latihan adalah untuk membiasakan pasukan dengan operasi, penyelenggaran pesawat dan membina tahap keyakinan untuk ke peringkat seterusnya,” kata Rudy.

Selain Bali, teksi terbang itu juga dilaporkan akan terbang di langit Jakarta tidak lama lagi.

Dengan adanya pengangkutan itu, ia dikatakan boleh menjadi pilihan untuk mengelak daripada kesesakan lalu lintas terutama bagi yang melakukan perjalanan dalam jarak yang tidak terlalu jauh.

Sumber: Detik.com

Sofea

There's always another side to every story