Seperti yang kita tahu, sebuah varian baharu COVID-19 yang dikenali sebagai Omicron telah dikesan dan kini dikategorikan sebagai variant of consent (VOC). Setakat semalam, sebanyak 215 kes positif varian Omicron dilaporkan di sleuruh dunia membabitkan 20 buah negara.
Antara negara yang merekodkan kes positif varian Omicron tertinggi ialah Afrika Selatan dengan jumlah kumulatif 128 kes. Turut mencatatkan kes dua angka varian sama adalah Botswana (19 kes), Portugal (13 kes) dan Netherland (12 kes).
Susulan kemunculan varian baharu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui kenyataan media hari ini mengeluarkan langkah-langkah kawalan serta pencegahan bagi varian Omicron, seperti yang dipersetujui Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 semalam. Langkah-langkah yang telah ditetapkan KKM adalah seperti berikut.
Sekatan perjalanan sementara
1. Sekatan penerbangan terus atau transit dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron seperti yang disenaraikan:
- Afrika Selatan
- Botswana
- Eswatini
- Lesotho
- Mozambique
- Namibia
- Zimbabwe
- Malawi
2. Sekatan perjalanan sementara untuk pengembara bukan warganegara Malaysia dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan atau pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan.
3. Tiada sekatan kemasukan bagi warganegara Malaysia dan pemegang pas lawatan jangka-panjang (PR status, spouse visa, MM2H, pas resident) dengan syarat:
- Mereka perlu jalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi
- Mereka perlu lakukan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) 72 jam sebelum berlepas, semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa negara (PMA) dan pada hari ke-10 tempoh kuarantin wajib
- Penilaian risiko pada hari ke-14 tempoh kuarantin wajib dan akan dilanjutkan tempoh kuarantin sekiranya bergejala
4. Pengembara Warganegara Malaysia yang merancang melawat ke negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron seperti yang disenaraikan, adalah tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka.
5. Menangguhkan perancangan untuk mewujudkan Vaccinated Travel Lane (VTL) dengan negara yang dikenal pasti melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron seperti yang disenaraikan. Penangguhan ini adalah sehingga gambaran lebih jelas diperolehi mengenai penularan varian Omicron di peringkat global.
- VTL Udara Malaysia-Singapura: Pengembara yang menyertai VTL Udara digalakkan untuk melakukan ujian pengesanan COVID-19 kendiri pada hari ke 3 dan ke 7 selepas ketibaan.
Memantau dan mengemaskini senarai negara yang melaporkan kes VOC Omicron
KKM menyediakan senarai negara yang melaporkan kes penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron berlaku jangkitan VOC Omicron secara harian untuk diedarkan kepada KLN, MOTAC, MOT dan JIM melalui MKN.
Pengukuhan kawalan pintu masuk antarabangsa
1. Penggunaan sistem “autogate” Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) diberhentikan sementara. Arahan ini berkuatkuasa serta merta.
2. Penerbangan yang membawa penumpang dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui KLIA sahaja. Pihak MAHB perlu menyediakan “Gate” Khas bagi penerbangan tersebut.
3. Syarikat penerbangan bertanggungjawab mengenal pasti pengembara dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan yang menaiki penerbangan mereka.
- Maklumat pengembara tersebut mestilah dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan KLIA untuk memudahkan pengendalian ketibaan pengembara negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron.
4. Menyediakan laluan khas kepada pengembara yang telah dikenal pasti tiba dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, untuk proses saringan kesihatan dan penyelarasan stesen kuarantin khas yang telah ditentukan oleh pihak NADMA.
Pelajar antarabangsa dan pekerja asing
Menangguhkan sementara kemasukan pelajar antarabangsa dan pekerja asing dari negara terlibat.
Program gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi
1. Pelancong dari negara yang melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron seperti yang disenaraikan, ATAU yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara tersebut dalam tempoh 14 hari, tidak dibenarkan menyertai program ini.
2. Warganegara Malaysia (penduduk Langkawi) yang pulang dari negara melaporkan penularan VOC Omicron atau negara yang berisiko tinggi berlaku penularan VOC Omicron yang disenaraikan, dibenarkan memasuki Malaysia melalui pintu masuk KLIA dan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin khas.
3. Pelancong asing yang disahkan positif COVID-19 VOC Omicron akan diisolasi di hospital swasta dan perlu menanggung sendiri kos rawatan.
Kukuhkan dan amalkan tindakan kesihatan awam kendiri
Dalam kenyataan sama, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia agar mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, mengelakkan tempat-tempat yang sesak dan mengasingkan diri apabila bergejala. Hal ini kerana, kealpaan kita melakukan langkah pencegahan ini hanya akan memberi peluang untuk virus COVID-19 bermutasi dan menjadi lebih mudah dijangkiti.
“Saya tegaskan sekali lagi, jangan ambil mudah perkara ini.
“Sekiranya anda telah layak menerima dos penggalak dan telah diberikan janji temu, sila penuhi janji temu tersebut dan ambillah dos penggalak.
“Dengan kewujudan VOC Omicron, KKM sangat menggalakkan pengambilan dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Khairy, warga emas dan individu dengan komobiditi juga disarankan untuk tidak melakukan perjalanan ke luar negara. Hal ini wajar dilakukan bagi mengelakkan diri dari menghadiri kawasan awam yang sesak.
Sumber: KKM