Siakap Keli
Gambar: via New York Post

Kajian Dapati Bayi Boleh Faham Lawak Jenaka Seawal Usia Sebulan

Satu kajian di salah sebuah universiti di United Kingdom dijalankan dan mendapati bayi seawal usia sebulan sebenarnya sudah boleh memahami jenaka yang dilakukan oleh orang yang berada di sekeliling mereka, memetik laporan daripda New York Post.

Kajian ini dilakukan oleh kumpulan penyelidik dari Universiti Bristol UK. Sejumlah 21 jenis jenaka yang berbeza boleh difahami oleh bayi bermula dari usia sebulan.

Menurut laporan, kira-kira 50 peratus daripada bayi boleh memahami jenaka pada usia dua bulan dan sekitar 50 peratus lagi bayi sudah mula membuat jenaka mereka sendiri pada usia 11 bulan.

Bukan itu sahaja, bayi yang berusia di bawah 12 bulan juga boleh memberi tindak balas terhadap jenaka yang berupa fizikal, visual dan pendengaran.

Jenaka yang mereka fahami dan gemari termasuklah ‘peekaboo’, menggeletek perut, membuat wajah yang lucu, mengeluarkan bunyi suara yang hodoh, atau berlakon salah guna objek seperti tiba-tiba meletakkan cawan di atas kepala seseorang.

Menurut penulis kajian dan Profesor Madya di Fakulti Pendidikan Universiti Bristol, iaitu Dr. Elena Hoicka, pengaruh sosial adalah penting terhadap perkembangan humor yang baik dan dapat merangsang imaginasi dan kemahiran kognitif (otak).

“Hasil kajian kami mendapati bahawa jenaka berbentuk kompleks (mudah) serta sentiasa berkembang dalam tempoh empat tahun pertama kehidupan” kata profesor itu.

“Sangat penting untuk kita membangunkan kaedah-kaedah bagi mengenal pasti bagaimana jenaka boleh berkembang lagi.” tambahnya lagi.

“Hal ini demikian kerana, dengan memahami perkembangan jenaka kita bahkan dapat membantu kanak-kanak berfungsi secara kognitif dan sosial serta meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak.” ujarnya.

Sumber: New York Post

Nadhirah