Siakap Keli
Gambar Hiasan via Hello Doktor

Kulit Gatal Sampai Ada Biji-biji Kecil? Jangan Digaru Mungkin Penyakit Dishidrosis

Pernah tak anda mengalami kegatalan pada kulit? Lagi-lagi apabila tumbuh biji-biji air sampai luka dibuatnya.

Jika anda pernah mengalami situasi ini, jangan garu. Mungkin ia merupakan satu penyakit berbahaya untuk anda.

Menerusi perkongsian daripada Hello Doktor, anda berkemungkinan terkena penyakit Dishidrosis.

Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, sila baca perkongsian di bawah.

Dishidrosis: Penyakit kulit kering dan gatal

Dishidrosis merupakan antara jenis penyakit kulit kering dan gatal yang biasa berlaku. Ia menyebabkan kelepuhan kecil yang berisi cecair, yang terbentuk pada tapak tangan dan tepi jari.

Kadangkala, ia juga boleh berlaku pada bahagian bawah kaki anda.

Lepuh yang berlaku disebabkan keadaan kulit ini biasanya berlangsung dalam tempoh sekitar tiga minggu dan boleh menyebabkan kegatalan yang teruk.

Setelah kelepuhan ini kering, kulit anda mungkin akan kelihatan bersisik.

Kelepuhan yang berlaku ini boleh berulang walaupun kulit anda belum lagi sembuh daripada kelepuhan yang berlaku sebelum ini.

Untuk makluman anda, dishidrosis bukanlah sejenis penyakit berjangkit dan ia tidak boleh tersebar kepada individu lain dengan apa cara sekalipun.

Apakah punca bagi keadaan penyakit kulit kering dan gatal ini?

Gambar : Hello Doktor

Punca sebenar bagi keadaan kulit ini tidaklah diketahui. Namun, ia boleh berlaku disebabkan beberapa keadaan pencetus.Antaranya adalah ketika seseorang itu sedang mengalami tekanan atau mengalami alahan.Selain itu, seseorang yang kerap berpeluh pada bahagian tangan dan kaki juga amat cenderung untuk mengalami keadaan penyakit kulit kering dan gatal ini. Jangkitan kulat pada kulit juga boleh memicu dishidrosis untuk muncul.

Simptom-simptom keadaan kulit dishidrosis

Simptom atau gejala bagi penyakit kulit kering dan gatal ini boleh datang dan pergi bila-bila masa sahaja.Apabila simptom keadaan kulit ini berlaku, ia mungkin berlangsung selama beberapa minggu pada satu-satu masa.Antara simptom keadaan kulit dishidrosis yang boleh anda perhatikan ialah:

  • Wujud lepuh seperti biji-biji kecil yang padat pada bahagian tepi jari, tapak tangan dan tapak kaki anda
  • Kulit anda menjadi gatal dan bersisik di sekitar kelepuhan tersebut
  • Berasa sakit pada atau sekitar lepuh
  • Berpeluh dengan banyak di sekitar kawasan kulit yang terkena lepuh
  • Kulit kering dan merekah yang kelihatan sebagai lepuh pudar
  • Kulit menebal di kawasan kulit yang gatal dan melepuh muncul

Kulit pada jari, tangan dan kaki anda mungkin akan menebal jika digaru dengan kerap.Kawasan lepuh yang besar juga boleh dijangkiti dan boleh menyebabkan kesakitan.Kelepuhan yang berlaku ini juga akan mengering dan menggelupas dalam tempoh tiga minggu setelah ia berlaku.

Siapakah yang berisiko mendapat penyakit kulit kering dan gatal ini?

Sesiapa sahaja boleh mengalami dishidrosis, tidak kira sama ada seseorang itu merupakan kanak-kanak, remaja atau orang dewasa.Namun, keadaan kulit ini paling biasa berlaku pada orang dewasa yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.Wanita lebih cenderung daripada golongan lelaki untuk mengalami dishidrosis.Perbezaan daripada segi jantina ini mungkin kerana golongan wanita lebih kerap terdedah kepada perengsa kulit tertentu berbanding lelaki.Bahan perengsa ini termasuklah bahan-bahan seperti nikel atau kobalt yang terdapat dalam barang kemas.Selain itu, anda juga berisiko lebih tinggi untuk mengalami dishidrosis jika:

  • Ahli keluarga anda yang lain mempunyai keadaan ini
  • Anda mempunyai sejarah dermatitis atopik atau kontak
  • Anda menerima infus immunoglobulin. Imunoglobulin intravena (IVIG) ialah suntikan antibodi untuk individu yang mempunyai kekurangan imun

Diagnosis bagi keadaan kulit dishidrosis

Kebiasaannya, doktor akan memeriksa keadaan anda secara fizikal bagi melihat penyakit yang anda sedang alami.Tiada sebarang ujian makmal yang boleh mengesahkan penyakit yang anda alami secara khusus.Namun, doktor akan menjalankan ujian bagi menentukan dan membezakan dishidrosis yang anda alami dengan penyakit-penyakit kulit yang lain.

Rawatan bagi merawat penyakit kulit kering dan gatal

Gambar : Hello Doktor

Doktor biasanya akan menyarankan penggunaan krim bagi mengurangkan rasa sakit dan juga gatal-gatal pada kulit.

Namun, bagi kes dishidrosis yang lebih teruk, doktor mungkin akan menyarankan kaedah rawatan lain yang lebih berkesan.

Antaranya adalah penggunaan krim atau suntikan kortikosteroid, methotrexate atau mycophenolate mofetil, dan juga rawatan fototerapi.

Bolehkah anda merawat keadaan kulit dishidrosis di rumah?

Anda mungkin boleh mengamalkan rutin penjagaan kulit yang terbaik di rumah bagi merawat dishidrosis dengan berkesan.

Antara rutin penjagaan kulit yang boleh anda amalkan ialah:

  • Rendam tangan dan kaki anda dalam air sejuk bagi mengurangkan simptom yang berlaku
  • Gunakan air suam berbanding air panas apabila anda membasuh tangan atau mandi
  • Gunakan pelembap kulit dengan kerap untuk mengelakkan kulit menjadi terlalu kering
  • Gunakan kompres sejuk setiap hari sekurang-kurangnya 15 minit untuk setiap sesi bagi mengurangkan rasa sakit atau kegatalan pada kulit

Kesimpulan

Kulit yang kering dan juga gatal pastinya akan membuatkan kita tidak selesa setiap masa.

Apatah lagi jika ia menyebabkan kelepuhan yang kerap membuatkan kita sering menggaru sehingga kulit menjadi lebih buruk.

Oleh itu, jika anda mengalami simptom atau gejala seperti yang telah dinyatakan di atas, jangan ragu-ragu untuk melakukan pemeriksaan di klinik atau hospital.

Sumber : Hello Doktor

Fathin Nadzira