Siakap Keli

MARA Peruntuk RM40 Juta Perkasa Usahawan Luar Bandar Sabah

KOTA KINABALU, 30 Nov – Sejumlah RM40 juta diperuntukkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu usahawan Bumiputera luar bandar di Sabah yang menceburi bidang keusahawanan.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah tersebut akan disalurkan kepada 500 usahawan melalui MARA daerah di wilayah itu.

“Tumpuan kita adalah bagaimana memperkukuhkan usahawan-usahawan Bumiputera luar bandar melalui pejabat-pejabat daerah MARA.

MARA juga ada bazar, lot-lot kedai dan Arked MARA yang diberikan sewa kepada usahawan-usahawan Bumiputera.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Jelas Mahdzir, selain aspek pendidikan, MARA dan KPLB juga memberi penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera di luar bandar.

“MARA adalah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sangat mengambil inisiatif kepada program agenda keusahawanan bumiputera selain daripada pendidikan TVET,” kata Mahdzir.

Nur Farra