Siakap Keli

Pemberdayaan Remaja Dan Pelajar Perempuan Tangani Gangguan Dengan Yakin Perlu Persekitaran Yang Selamat

Petaling Jaya, 1 Disember 2021 – Aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang progresif boleh dicapai jika kita menegakkan hak setiap manusia. Akan tetapi, kenyataan daripada Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr Radzi Md Jidin mengenai pemeriksaan haid merupakan satu tradisi yang diamalkan oleh pelajar senior menjadi penghalang terhadap usaha untuk mencapai aspirasi ini. Sisters in Islam (SIS) menegaskan bahawa perjuangan untuk mengharamkan pemeriksaan haid di institusi pendidikan memerlukan sokongan bersepadu rakyat Malaysia baik ibu bapa mahupun belia yang bakal menjadi ibu bapa untuk menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menguatkuasakan garis panduan yang jelas bagi menegakkan hak suasana pembelajaran yang selamat untuk anak-anak.

SIS mengambil perhatian akan usaha KPM yang melawat dan menyiasat sekolah yang terkesan. Walau bagaimanapun, pihak KPM haruslah menggunakan sumber yang lebih luas untuk mengumpul maklumat dan bukti daripada sekolah yang dilaporkan melakukan pemeriksaan haid dan menemu ramah kumpulan pelajar yang lebih besar. Mengulas mengenai kenyataan YB Menteri KPM, walaupun kemungkinan pelajar senior dikatakan menjalankan pemeriksaan haid terhadap pelajar yang lebih muda, arahan untuk menjalankan pemeriksaan haid ini harus disiasat bagi mengenalpasti pihak-pihak yang bertanggungjawab.

Persekitaran yang selamat adalah penting dalam pemberdayaan remaja perempuan untuk menangani sebarang gangguan yang mereka alami terutama sekali di sekolah dan institusi pendidikan. Hanya dengan persekitaran yang selamat, para remaja dan pelajar perempuan boleh yakin bahawa apa-apa aduan tentang gangguan yang dialami mereka akan diambil dan ditangani secara serius dan bersungguh-sungguh.

Di masa yang sama, pemberdayaan remaja dan pelajar perempuan haruslah dilakukan supaya mereka mengenali sempadan pergaulan dan hubungan sosial yang mereka rasa selesa, boleh terima dan tidak melanggar etika pergaulan sosial seharian. Mereka wajib diberdayakan dengan cara-cara berikut supaya mereka boleh mengambil tindakan dengan yakin dan tanpa ragu-ragu sekiranya berlaku pencabulan, perbuatan ataupun percakapan yang melanggar sempadan keselesaan mereka:

Anda berhak untuk berkata TIDAK

Remaja perempuan perlu dipupuk untuk memperkasakan diri mereka. Oleh yang demikian, sekiranya mereka menghadapi sebarang jenis pencabulan, termasuklah pemeriksaan haid, mereka tidak berdiam diri dan berani untuk berkata tidak. Menolak arahan yang mencabuli hak peribadi adalah tanda menghormati diri sendiri sekaligus, meminta orang lain untuk menghormati autonomi badan kita sendiri. Gangguan terhadap tubuh badan ialah salah satu bentuk pencabulan hak asasi manusia bagi perempuan. Ia juga menimbulkan ketaksaksamaan dan menggalakkan keganasan daripada diskriminasi gender. 

Kita tidak harus berdiam diri – Luahkan ketidakselesaan / kebimbangan anda kepada orang dewasa yang boleh dipercayai

Sekiranya situasi terlalu rumit dan tidak dapat diselesaikan sendiri, remaja perempuan haruslah memberitahu orang dewasa – sama ada ibu bapa atau orang dewasa yang dipercayai. Perlu diingat bahawa meminta bantuan tidak bermakna anda lemah. Masalah gangguan dan buli boleh berhenti apabila remaja perempuan bersuara dan mendapat sokongan daripada orang dewasa yang dipercayai. Jika orang dewasa yang anda beritahu tidak membantu untuk menghentikan gangguan dan buli yang dihadapi, beritahu orang dewasa yang lain seperti kaunselor, ahli terapi, pihak berkuasa yang lain sehingga ia berhenti.

Anda boleh mendapatkan pertolongan – hubungi NGO untuk bantuan lanjut

Sisters in Islam (SIS) telah bekerjasama dengan Persatuan Tindakan Semua Wanita (AWAM) dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (Women:Girls) untuk membangkitkan isu-isu penting berkaitan pemeriksaan haid yang boleh dianggap sebagai gangguan seksual, kecam badan dan juga pencabulan hak peribadi remaja perempuan. Bersama-sama, kami ingin menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk terus menjalankan tanggungjawabnya menangani isu ini secara menyeluruh dari peringkat dasar sehingga ke akar umbi di setiap sekolah di Malaysia.  Sehingga garis panduan yang lebih jelas dikeluarkan oleh pihak KPM, remaja perempuan seharusnya tahu bahawa mereka boleh mendapatkan pertolongan dan bantuan menerusi saluran-saluran berikut: AWAM Telenita: 016 237 4221 / 016 228 4221 ([email protected]) atau Talian Khas Pusat Kesedaran Wanita (WCC) Pulau Pinang: 011-3108 4001 dan WCC Seberang: 016-439 0698 dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang ([email protected]).

“SIS percaya bahawa usaha bersepadu antara organisasi termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa agama, masyarakat madani, autoriti perundangan serta institusi akademik boleh mencetus perubahan yang besar dalam meningkatkan usaha mempertahankan hak asasi manusia, terutamanya dalam kehidupan perempuan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama,” kata Rozana Isa, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS). “Sudah lama remaja perempuan kita diabaikan kerana kurang kesedaran berhubung isu pemeriksaan haid. Kita harus berusaha untuk menangani masalah gangguan dan pencabulan terhadap perempuan dan remaja perempuan.” 

MENGENAI Sisters in Islam (SIS)

Sisters in Islam merupakan badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak wanita Islam di Malaysia di dalam kerangka Islam, prinsip-prinsip hak asasi manusia, jaminan perlembagaan serta realiti kehidupan dan pengalaman wanita.

Nur Farra