Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan satu lagi varian Omicron yang telah melanda beberapa negara seperti Botswana, Hong Kong dan UK. Omicron merupakan varian baharu yang mula dikesan di wilayah Gauteng, Afrika Selatan.
Terbaharu, Pfizer membuat satu kenyataan bahawa pihaknya sudah mula menghasilkan vaksin Covid-19 yang disasarkan bagi membantu mentang varian baharu tersebut. Penghasilan vaksin baharu ini sebagai persediaan sekiranya vaksin sedia ada tidak mampu melawan jangkitan yang disebabkan oleh varian tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla, ujian vaksin sedia ada terhadap Omicron yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan telah mula dilakukan oleh pihaknya.
“Kesemua ujian yang dilakukan berkemungkinan menunjukkan vaksin sedia ada ‘kurang berkesan’, sekali gus kita perlu menghasilkan vaksin baharu yang lebih menyeluruh,” katanya.
Tambah Bourla lagi, beliau optimis mengenai pil antiviral keluaran syarikat tersebut yang didakwa berfungsi untuk merawat jangkitan yang berpunca oleh mutasi varian, termasuk Omicron. Beliau juga menjelaskan bahawa pil tersebut terbukti berkesan untuk mengurangkan kemasukan ke hospital atau kematian hampir 90 peratus.
Selain itu, Johnson & Johnson (J&J) juga memaklumkan bahawa mereka sedang ‘berusaha hasilkan vaksin khusus untuk Omicron’.
Sumber: Utusan Malaysia