Satu kajian dijalankan ke atas sotong katak oleh University of Cambridge dan University of Caen. Kajian itu mendapati bahawa apabila haiwan itu semakin tua, semakin kuat ingatannya berbanding manusia.
Kajian ini melibatkan sebanyak 24 ekor sotong katak yang terdiri daripada 12 ekor sotong katak yang berusia 10 hingga 12 bulan dan selebihnya berusia di antara 22 hingga 24 bulan, di mana tempoh usia sotong katak tersebut adalah bersamaan dengan manusia yang berusia 90-an.
Kajian tersebut menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan hasil dapatan kajian dan salah satu kaedah yang digunakan adalah sotong diajar untuk mengenali dua makanan biasa yang diberikan pada tempat yang ditanda. Penyelidik mengesahkan bahawa sotong katak dapat mengingati peristiwa itu dengan baik kerana haiwan itu menunggu makanan di tempat bertanda yang sama ketika ia berasa lapar.
Sotong katak merupakan antara sotong yang mempunyai otak yang lebih besar berbanding saiz badannya. Ia juga boleh memanjang sehingga 50cm dengan mencapai berat lebih daripada 10.5kg.
Menurut Dr Schnell, sotong katak tua tidak mempunyai perbezaan dengan sotong katak muda. Ia tidak akan menunjukkan tanda-tanda penuaan seperti manusia selain kehilangan fungsi otot dan kekurangan selera makan.
Para penyelidik percaya bahawa Hippocampus, iaitu satu daripada bahagian utama yang ada di dalam bahagian otak manusia, tiada dalam otak sotong katak yang menyebabkan mengapa ia mempunyai ingatan yang lebih baik berbanding manusia.

Berbanding dengan otak manusia, sotong katak tidak mempunyai Hippocampus. Fungsi utama Hippocampus di dalam otak manusia adalah mengawal tindak balas, membantu proses pembelajaran serta ingatan.
Penyelidik juga percaya ada kemungkinan bahawa ingatannya yang kuat itu membantu haiwan itu mengingati pasangannya ketika mengawan. Selepas itu, haiwan itu tidak akan kembali kepada pasangan yang sama.
Sumber: Sky News