Siakap Keli
Gambar Via CNN

Dicipta Daripada Sel Stem Katak, Robot ‘Hidup’ Pertama Di Dunia Kini Dilapor Boleh Membiak

Robot hidup pertama di dunia yang dikenali sebagai xenobots kini dilaporkan boleh membiak dengan cara yang tidak dilihat pada tumbuhan dan haiwan sebelum ini.

Menurut CNN, robot yang dicipta oleh para saintis dari Amerika Syarikat (AS) itu dibentuk daripada sel stem katak bercakar Afrika (Xenopus laevis) dan mempunyai lebar kurang daripada satu milimeter.

Gumpalan kecil itu mula didedahkan pada tahun 2020 selepas eksperimen menunjukkan bahawa mereka boleh bergerak, bekerjasama dalam kumpulan dan menyembuhkan diri.

Para saintis berkata mereka telah menemui satu bentuk pembiakan biologi yang sama sekali berbeza daripada mana-mana haiwan atau tumbuhan yang diketahui sains.

“Saya terkejut melihatnya, ia bukan sahaja mencari cara baharu untuk bergerak tetapi juga memikirkan cara baharu untuk membiak,” kata profesor biologi dan pengarah Pusat Penemuan Allen di Universiti Tufts, Michael Levin.

Dalam pembuatan xenobots, para saintis telah mengikis sel stem hidup daripada embrio katak dan membiarkannya mengeram. Ia berbeza daripada anggapan kebanyakan orang yang menyangka robot hanya diperbuat daripada logam dan seramik.

“Ia adalah robot tetapi ia juga jelas merupakan organisma yang diperbuat daripada sel katak yang tidak diubahsuai secara genetik.

“Xenobots menggunakan ‘replikasi kinetik’ iaitu satu proses yang diketahui berlaku pada peringkat molekul tetapi tidak pernah diperhatikan sebelum ini pada skala keseluruhan sel atau organisma,” kata profesor sains komputer dan robotik Universiti Vermont, Josh Bongard.

Dalam pada itu, saintis juga telah menguji berbilion bentuk badan dengan bantuan kecerdasan buatan untuk menjadikan xenobots lebih berkesan pada jenis replikasi ini.

Gabungan biologi molekul dan kecerdasan buatan ini berpotensi digunakan untuk alam sekitar seperti mengumpul mikroplastik di lautan, memeriksa sistem akar dan ubat regeneratif.

Sumber: CNN

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.