Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

Bajet 2022 Merancang Ke Arah Memulihkan Segera Sektor Pelancongan Negara Kerana Ramai Masih Takut Nak Datang Akibat Pandemik Covid-19

”Perkhidmatan kami ni bukanlah keperluan. Orang pun masih takut lagi nak datang. Bayaran pekerja, sewa kedai semua berjalan macam biasa. Kadang- kadang terpaksa tutup lama..”

Ini antara keluhan pengusaha spa ketika ditanya mengenai situasi yang terjadi. Seperti yang kita tahu, industri perkhidmatan dan pelancongan antara industri yang paling teruk terjejas ekoran pandemik yang melanda negara sejak awal tahun lalu.

Oleh itu, kerajaan menerusi Bajet 2022 telah menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.6 bilion kepada sektor ini sebagai usaha membantu membangkitkan semula industri pelancongan negara.

Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada pengusaha industri malah kepada rakyat keseluruhannya kerana pelbagai faedah akan diterima termasuk pemberian pelbagai diskaun dan rebat serta pelepasan cukai individu bagi mereka yang melancong secara domestik.

Ini antara senarai inisiatif di bawah sektor pelancongan merangkumi pelbagai bantuan khusus buat penggiat dalam industri ini:

Bantuan Khas Industri Pelancongan

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bantuan khas kepada pengusaha pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan diberikan selama tempoh 3 bulan, antaranya:

  • Bantuan tunai Pemandu Pelancong sebanyak RM500.
  • Bantuan tunai kepada Agensi Pelancongan TOBTAB dan 362 MM2H sebanyak RM3,000.
  • Bantuan kepada pengusaha pengalaman Homestay yang berdaftar di bawah MOTAC sebanyak RM600.
  • Bantuan tunai kepada pengusaha SPA/Urut Kaki yang berdaftar di bawah MOTAC sebanyak RM1,000.
  • Bantuan tunai kepada usahawan kraf sebanyak RM500.

Program Subsidi Upah Bersasar

Selain itu, menerusi program subsidi upah bersasar, kerajaan akan menyediakan sebanyak RM600 bagi setiap pekerja, terhad kepada 500 pekerja, untuk tempoh 3 bulan.

Ianya khusus kepada majikan dalam sektor pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang kurangnya 30%, supaya mereka dapat meneruskan operasi sekaligus mengelakkan pekerja hilang pekerjaan serta punca pendapatan.

Geran Padanan Berkaitan Seni dan Budaya

Sementara itu, pemberian geran padanan pula akan diberikan kepada syarikat yang menganjurkan program berkaitan seni dan budaya.

Geran Padanan bagi Pembaikan Hotel Bajet Dan Inap Desa

Malah, pemilik hotel bajet dan inap desa yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan turut menerima geran padanan bagi tujuan pembaikan.

Dana Galakkan Aktiviti Promosi serta Pelancongan Domestik

Berdasarkan pengumuman oleh YB Menteri Kewangan,dana galakkan ini diberikan oleh kerajaan bagi tujuan aktiviti promosi serta galakakan pelancongan domestik kepada rakyat seperti yang tertera.

  • Pemberian Baucar Diskaun dan Rebat
  • Promosi dan Pengiklanan
  • Dana Sokongan Pelancongan Seni dan Budaya untuk menggalakkan pelancongan domestik melalui promosi dan publisiti kepada penggiat pelancongan

PENJANA Tourism Financing

Pembiayaan Pelancongan PENJANA (PENJANA Tourism Financing, PTF) diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu sektor pelancongan. Kemudahan ini bertujuan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor pelancongan bagi membantu mereka berdaya saing semula selepas Covid-19.

Golongan yang layak memohon kemudahan PTF adalah PKS tempatan dalam sektor pelancongan teras dan berkaitan pelancongan, sama ada PKS yang menurut takrifan SME Corp Malaysia atau PKS yang dilesenkan oleh / berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). PKS boleh menghubungi dan memohon daripada 12 institusi berdasarkan terma pembiayaan yang dinyatakan.

Terma Pembiayaan:

  • Kadar pinjaman: Sehingga 3.5% setahun (termasuk fi jaminan)
  • Saiz: Sehingga RM300,000;
  • Tempoh: Sehingga 7 tahun (termasuk tempoh moratorium)
  • Moratorium: Sekurang-kurangnya 6 bulan

Penyelenggaran Kemudahan & Infrastruktur Pelancongan

Di samping itu, kerajaan turut memperuntukkan dana bagi penyelenggaran kemudahan & infrastruktur pelancongan termasuk Bangunan Sultan Abdul Samad, Carcosa Seri Negara serta tapak bersejarah seperti Lembah Bujang di Kedah dan Lombong Sungai Lembing di Pahang bagi memastikan tempat pelancongan bersejarah negara kekal terpelihara.

Pelepasan Khas Cukai Pendapatan Individu bagi Perbelanjaan Pelancongan Domestik

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di bawah pembentangan Bajet 2022, pelepasan khas cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan pelancongan domestik sehingga RM1,000 turut dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.

Ini bagi menggalakkan rakyat menikmati keindahan dan kepelbagaian destinasi pelancongan dalam negara selain membantu rakyat untuk mendapatkan ‘pulangan’ daripada segi pengecualian cukai setelah rakyat membantu menjana semula ekonomi dengan aktiviti melancong.

Memperkukuh Kedudukan Malaysia sebagai Destinasi Pilihan Pelancongan Kesihatan

Di samping itu, kerajaan turut akan memberi peruntukan kepada Malaysia Healthcare Travel Council sebagai usaha pemulihan industri pelancongan kesihatan antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan.

Rakyat diharap dapat memanfaatkan sebaiknya segala bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini untuk membaikpulih taraf hidup selepas pandemik. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi Kementerian Kewangan Malaysia bagi mengetahui mengenai bantuan-bantuan lain yang diberikan oleh kerajaan.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.