Siakap Keli

Cara Nak ‘Support’ Penghasil Karya Kreatif Tempatan Di MAEF Dari 3 Disember Hingga 5 Disember 2021

Zaman kini, dengan kecanggihan teknologi yang semakin berkembang dari sehari ke sehari, membolehkan orang ramai menikmati keindahan karya seni daripada pengkarya-pengkarya tempatan kita yang tak kurang hebatnya.

Karya seni ini memiliki nilai yang tinggi. Tak mustahil, satu karya boleh terjual sehingga puluhan ribu ringgit, meletakkan pengkarya ini sama tinggi tempatnya dengan bidang-bidang lain.

Himpunan pengkarya tempatan selama 3 hari

Malaysia Art Ecosystem Festival (MAEF) bakal dianjurkan dari 3 Disember sehingga 5 Disember 2021 bagi membantu dan menyokong pemain-pemain industri dalam usaha pemulihan ekonomi yang terjejas sebelum ini disebabkan oleh pandemik yang menyerang negara.

MAEF berfungsi sebagai sebuah program dan inisiatif memfokuskan kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengkarya-pengkarya seni ini kepada orang ramai yang akan menyertai pameran ini.

Pameran ini bakal mengumpulkan seramai 82 player-player hebat dengan bakat-bakat berbeza yang terdiri daripada 19 galeri swasta, 3 galeri awam, 8 institut pengajian tinggi (IPT), 14 perkhidmatan seni, 16 artis dan 22 Usahawan Seni Muda (YAE!), Segaris Art Center, G13 Gallery, Art Voice Gallery dan TAKSU Gallery, ILHAM Gallery, Galeri Shah Alam dan Galeri Seni Johor. Selain itu, turut melibatkan beberapa instituis pengajian tinggi seperti Universiti UCSI, Universiti Limkokwing dan Universiti Selangor (UNISEL).

Memartabatkan industri seni visual

Objektif penganjuran MAEF ini adalah untuk memartabatkan industri seni visual sebagai salah satu penyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara. Selain meletakkan Kuala Lumpur yang merupakan lokasi pameran sebagai bandar yang wajib dikunjungi.

MAEF juga memainkan peranan penting untuk mengukuhkan kedudukan negara dalam pasaran seni tempatan dan antarabangsa agar dapat bersaing hingga ke mata dunia. 

3 hingga 5 Disember di Putra World Trade Centre

Ramai-ramai kita menyokong sambil menikmati karya-karya penggiat seni tempatan kita dengan warna-warni persembahan muzikal oleh Rebana Busking, Gurindam Orkes Keroncong Arif Lukisan (OKAL), dan tidak ketinggalan persembahan nyanyian oleh selebriti Malaysia antaranya, Marsha Milan Londoh, Dafi dan Idris Brown.

MAEF adalah platform terbaik untuk pemain industri ini menjalin hubungan rapat dengan masyarakat yang sekaligus dapat mengenali insan disebalik tabir yang memacu industri seni. 

Untuk maklumat lanjut layari https://www.artgallery.gov.my/en/homepage/ dan jangan lupa isi form DISINI untuk menghadiri pameran berprestij ini.

Nur Farra