Seorang lelaki di Bali, Indonesia didakwa telah membelasah teman wanitanya dengan teruk pada Sabtu lalu selepas wanita itu menolak untuk melakukan hubungan seks dengannya, lapor portal Coconuts.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa mangsa mengalami kecederaan parah berikutan daripada serangan yang berlaku.
Mangsa dilaporkan mengalami lebam pada kedua-dua belah matanya, luka pada kepala, benjolan pada bahagian belakang kepalanya serta lebam di badannya.
Menurut polis, suspek yang dikenal pasti sebagai H pada awalnya bertindak ganas selepas mangsa yang dikenali sebagai M enggan melakukan hubungan seks pada petang Sabtu.
“Suspek kemudiannya telah menyerangnya dengan memukul, memijak serta menghentak kepala mangsa ke dinding sehingga menyebabkannya tidak sedarkan diri, dan kemudian melarikan diri,” kata Ketua Sub-Presint Denpasar Barat dalam satu kenyataan.
M telah ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh seorang rakan yang kebetulan hendak melawatnya beberapa jam kemudian.
Dia kemudiannya telah digegaskan ke hospital tempatan sebelum laporan polis dibuat.
H kemudiannya berjaya ditahan di Pelabuhan Gilimanuk pada hari yang sama ketika dia cuba untuk melarikan diri ke Pulau Jawa yang berdekatan.
Di bawah kanun jenayah Indonesia, serangan itu boleh menyebabkan suspek berdepan dengan hukuman sehingga 2 tahun dan 8 bulan penjara, manakala serangan yang membawa kepada kecederaan serius pula boleh dihukum sehingga 5 tahun penjara.
Sumber: Coconuts Bali