Dalam dunia yang penuh pancaroba, kita sebagai manusia biasa tidak akan pernah terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Sebaik-baik orang yang berbuat salah adalah mereka yang segera bertaubat dan kembali kepada Allah SWT.
Bila melihat penjenayah atau banduan, mungkin ada yang menyangka bahawa mereka akan terus berada dalam kesesatan dan tidak akan mencium bau syurga. Namun, siapa kita untuk menghukum mereka? Baik buruk pengakhiran hidup seseorang bukan berada dalam ‘bidang kuasa’ kita.
Selama ini sudah banyak kisah-kisah mengenai mereka yang telah dipaparkan dan ia seharusnya dijadikan sebagai pengajaran dan diteladani dengan sebaiknya. Seperti kisah yang dikongsikan oleh Dato’ Sri Hanni Borhan menerusi Facebook miliknya baru-baru ini.
Menurutnya, arwah suaminya dahulu merupakan seorang bekas banduan dan mempunyai pelbagai kes jenayah namun di saat-saat pengakhiran hidup, arwah kembali ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Walaupun kadangkala menghadapi keperitan sepanjang di dalam rumah tangganya, Dato’ Sri Hanni berkata dia tidak berputus asa memanjatkan doa agar arwah suaminya diberikan petunjuk dan hidayah.
“Siapa sangka. Bekas banduan, kes jenayah satu Malaysia.Di saat kita sembahyang kerasnya hati dia, dia kata siapa tuhan kita yang ajar kita membelakangi suami.
Sabarnya kita minta pada Allah, menangis nya kita saban hari. Sampai satu hari..‘ayang.. ajar abang mengaji’.
Ada hari dia mengaji, ada hari dia tetap dengan rutin dia. ada hari dia datang kat kita. “Sayang.. Ni kopi. Nak bangun mengaji kan. Nak pergi kerja nak meeting kan”
Hikmah itu kita tak nampak. Kita hanya focus kesakitan. Kita fokus aib mereka. Kita tak focus, betapa istimewanya kita di sisi Allah
Allah ambik daddy bukan sebagai penjenayah, bukan sebagai gangster. Tapi Allah ambik dia sebagai orang yang baik baik,” katanya menerusi kiriman itu.
Setelah kematian arwah suaminya, Dato’ Sri Hanni atau lebih mesra dipanggil Mem Hanni bangkit meneruskan hidup dengan menjalankan perniagaannya. Kini, produknya iaitu Jamu Susuk Dara (JSD) sudah dikenali di seluruh Malaysia.
Dengan masalah yang dihadapi dalam rumah tangganya, kejayaan yang dikecapi pada hari ini tidak diperolehi dengan mudah. Dia perlu melalui pelbagai liku-liku yang getir dan bekerja keras bagi mendapatkan hasil yang diingini. Dia juga kini sudah mencapai sasaran ‘retired young’.
Menceritakan pengalamannya, Mem Hanni berkata dia bekerja mengikat perut sejak 20 tahun yang lalu dan sentiasa menetapkan sasaran dalam setiap apa yang dilakukan olehnya.
“Dulu kena kerja sampai sakit tulang urat selama 20 tahun. Kena kerja sampai sewel, sampai nak mati,” katanya
Perniagaan JSD yang diusahakan olehnya sejak tahun 2010 itu dikatakan bermula kerana dia ingin membantu kenalan yang mempunyai masalah kemaluan berbau sehingga menyebabkan hubungan dengan suami terjejas.
Tanpa sebarang modal, dia membuat jamu untuk dimakan sendiri dan dijual pada kenalannya itu sebelum melebarkan sayap pada tahun 2011 dengan menggunakan duit simpanannya sebanyak RM10 ribu untuk mengeluarkan produk jamu itu dengan lebih meluas. Ketika itu, dia mengeluarkan produk JSD dengan kerjasama kilang yang terletak di Subang secara kontrak.
Langkahnya tidak terhenti di situ apabila dia telah membina JSD Holdings Sdn Bhd dengan bermodalkan RM1 juta. Tidak cuma itu, dia juga telah diberikan suntikan modal pusingan sebanyak RM2 juta pada tahun 2016.
Menurutnya, semua orang boleh berjaya asalkan sentiasa ada usaha dan tidak terlalu memikirkan mengenai kemasyhuran.
“Berniaga bukan untuk masyhur atau popular, fokus pada hasil yang dikecapi. Simpan duit, bayar hutang, hidup senang,” ujarnya.
Walaupun diuji dengan pelbagai dugaan sepanjang hidupnya, Mem Hani membuktikan bahawa dia boleh menjadi seorang wanita yang berjaya dan mampu bangkit untuk terus melangkah jauh bersama perniagaan JSD yang diusahakannya selama ini.