Seperti sedia maklum, harga barang keperluan telah naik susulan keadaan ekonomi pada masa kini. Dalam keadaan di mana semua harga barang meningkat naik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) baru-baru ini memberitahu bahawa akan berlakunya penurunan harga bagi ayam mentah.
Harga maksimum ayam RM9.30 sekilogram yang telah ditetapkan kerajaan akan dikaji semula oleh pihak KPNHEP untuk diturunkan. Tindakan ini dilakukan susulan kemasukan bekalan ayam sejuk beku import sebanyak 16.5 juta ekor dalam pasaran sehingga Februari tahun hadapan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad memberitahu bahawa harga bekalan asas itu lazimnya akan diturunkan apabila wujud penawaran bekalan ayam yang meningkat.
“Harga maksimum akan bergantung pada harga ayam import dan kita lihat kesannya kepada penawaran, kalau ada penurunan harga, itu berita baik untuk pengguna. Apabila ayam import sudah masuk, penawaran akan menjadi berlebihan dan kita akan kaji semula harga maksimum ayam RM9.30,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di pekan Kuala Sungai Baru pada hari ini.
Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) telah berlangsung selama dua hari bermula semalam. Program tersebut telah disertai oleh enam agensi kerajaan dan 13 syarikat yang menawarkan pelbagai bahan makanan, termasuk ayam pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid semalam, kerajaan telah menetapkan harga maksimum ayam standard pada kadar RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 untuk pemborong di Semenanjung sehingga 31 Disember depan. Tambahnya lagi, harga ayam standard di Langkawi pula telah ditetapkan iaitu pada harga RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong).
Berdasarkan satu kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan semalam,sebanyak 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor ayam bulat sejuk beku sebulan telah diberi oleh kerajaan untuk diimport.
Bekalan import itu bertujuan untuk menampung kekurangan bekalan ayam dalam pasaran seperti dilaporkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang merekodkan kemerosotan secara purata sebanyak 18 peratus sejak Oktober dan dijangka akan berlanjutan pada bulan ini. Keadaan itu telah menyebabkan kenaikan harga ayam sehingga mencecah lebih RM10 sekilogram di pasar basah dan pasar raya.
Sumber: Utusan Malaysia