Seorang lelaki di China dikatakan sanggup menjual rumahnya untuk membiayai kos perubatan isterinya yang sedang sakit tenat, memetik laporan daripada Mothership.
Lelaki berusia 39 tahun itu, tular di salah sebuah media sosial di China sebaik sahaja dia membuat keputusan untuk berkahwin semula dengan bekas isteri selepas mendapati dia sakit tenat, lapor media China Dingduan melalui Mothership.
Menurut laporan, isteri Chen Zhenfeng iaitu Xie Hongxia menderita sakit uremia. Sakit uremia dikatakan sakit yang mana buah pinggang sudah berhenti berfungsi.

Akibat buah pinggang yang berhenti berfungsi itu, ianya tidak dapat menapis segala toksin yang keluar melalui air kencing. Keadaan itu dikatakan salah satu tanda peringkat paling akhir bagi penderita sakit buah pinggang ini.
Chen dahulunya merupakan seorang tentera yang sudah menamatkan perkhidmatannya 20 tahun lalu, dan kini bekerja sebagai salah seorang pegawai perkhidmatan awam.
“Saya kini bersiap sedia untuk menjual rumah saya bagi membiayai kos rawatan isteri saya yang dianggarkan RMB1 juta (RM663,825.80).” kata Chen.
Selepas mendapat nasihat doktor yang mengatakan pemindahan buah pinggang adalah jalan terbaik untuk isterinya, Chen malah sanggup untuk menderma buah pinggang dia untuk diberikan kepada isterinya itu sekiranya buah pinggang mereka serasi.
Dingduan melalui Mothership turut melaporkan bahawa Chen dan Xie bertemu melalui ahli keluarga mereka dan berkahwin pada tahun 2012. Tetapi mereka dikatakan bercerai pada tahun 2019 atas perselisihan faham mengenai perkara yang ‘remeh’.
Selepas penceraian mereka, Xie disahkan menghidap penyakit buah pinggang semasa dia melakukan pemeriksaan penglihatannya.
Bagi penghidap penyakit buah pinggang, mereka akan mengalami masalah penglihatan menurut Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Amerika Syarikat.
Chen kini dikatakan memperoleh gaji kira-kira RMB 3,000 (RM1,990.62) sebulan daripada kerja tetapnya dan bekerja sebagai pemandu pada waktu malam bagi memperoleh pendapatan tambahan, lapor Zhengguan News melalui Mothership.
Walau bagaimanapun pendapatannya dikatakan masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan dialisis isterinya yang menelan hampir RMB6,000 (RM3,981.24) sebulan. Disebabkan itu dia ingin menjual rumahnya bagi menampung kos perubatan.
Tambah laporan, beberapa veteran tentera dan orang ramai dilaporkan menderma kira-kira RMB20,000 (RM13,276.52) kepada keluarga Chen untuk membantu dia membiayai kos rawatan isterinya itu.
Chen sanggup berkahwin dengan bekas isterinya semula tanpa teragak-agak. Dia mendakwa bahawa dia mahu menunaikan tanggungjawab dia sebagai seorang lelaki.
“Wanita sangat lembut dan lemah, jadi saya tidak mahu membiarkan isteri saya bersendirian tanpa sokongan.” kata Chen.
Sumber: Mothership