Seorang remaja yang cedera parah apabila seekor buaya menggigit kakinya dan cuba menyeretnya ke bawah air berkata bahawa dirinya trauma dan cepat berfikir dan bertindak membantu dirinya selamat daripada dibaham buaya Zambia itu.
Amelie Osborn-Smith, 18, dari Andover, Hampshire, sedang berakit di sungai Zambezi di Zambia apabila haiwan itu menyerang pada hari Selasa lepas.
Kini, remaja itu telahpun stabil namun masih mengalami “trauma dan mimpi buruk yang kerap”, kata keluarganya dalam satu kenyataan.
Dia sedang dihantar pulang ke unit trauma hospital pengajar di London. Tambah keluarganya lagi, kos penerbangannya kembali ke UK dan rawatan perubatan dipenuhi oleh insuransnya.
Bapanya Brent Osborn-Smith sebelum ini berkata bahawa anak perempuannya bersama rakan-rakannya telah berjaya melawan buaya itu selepas ia cuba menyeretnya ke dalam sungai untuk menundukkan mangsanya.
Dia berkata bahagian bawah kakinya cedera teruk. Pinggulnya pula terkehel dan kaki kanannya juga mengalami kecederaan yang parah.
Dalam video yang dikeluarkan oleh hospital yang merawatnya di Zambia, Cik Osborn-Smith menggambarkan pengalaman pahitnya, berkata:
“Anda tidak benar-benar boleh berfikir dengan baik dalam situasi itu. Orang ramai menyatakan pendapat mereka bahawa anda akan melihat kehidupan anda berkelip di hadapan mata anda namun hakikatnya ia tidak seperti disangka. Jika anda di situasi itu, anda hanya berfikir: ‘Bagaimana saya boleh keluar dari situasi ini?’ Otak anda menjadi terlalu bingung. Saya sangat bertuah.”
Dia menambah bahawa kejadian itu tidak akan menghalangnya untuk kembali ke Zambia pada masa akan datang.
“Saya dapat melihat sekarang bahawa hidup saya boleh berakhir dengan begitu cepat. Bunyinya mungkin klise, tetapi jika anda terus berfikir tentang perkara itu, anda akan menyesali segala-galanya dan anda tidak akan pernah mendapat kehidupan yang memuaskan. Pada saya, lakukan sahaja apa yang anda suka selagi anda boleh dan jangan biarkan satu kejadian menghalang anda.”
Bundu Rafting, syarikat yang menganjurkan perjalanan berakit, berkata dalam satu kenyataan: “Apa yang berlaku kepada Cik Osborn-Smith adalah kemalangan yang malang – yang pertama berlaku di Bundu Rafting.
“Kesejahteraan dan pemulihan Cik Osborn-Smith dengan kadar segera adalah keutamaan kami, dan akan tetap bersamanya sehingga dia keluar dari hospital.”
Bapanya sebelum ini memuji “pantas berfikir dan kerjasama semua orang di atas rakit adalah punca anaknya masih selamat”.
Sumber: BBC News