Negara kan sedang menuju ke fasa pemulihan, jadi sudah tentulah kerajaan kini sedang ‘bertungkus-lumus’ melakukan yang terbaik untuk semua lapisan rakyat khususnya bagi golongan B40 dan M40.
Kita pula dah berada di hujung tahun. Tak lama lagi akan masuk ke 2022. Alam persekolahan pun akan bermula, maka bermacam-macam persediaan yang ibu ayah kena buat nanti kan?
Umumnya kita pun tahu, kos perbelanjaan sekolah anak-anak ni bukanlah kecil. Tambahan pula ekonomi pun baru nak ‘hidup’. Tak mustahil ibu ayah kena sediakan ‘modal’ yang agak besar nanti.
Tapi ibu ayah semua janganlah risau. Rasa bimbang anda semua telah didengari sejak awal lagi. Segala ‘persoalan’ mengenai bantuan anak-anak bersekolah sudah pun dijawab dalam Bajet 2022 yang dibentangkan Kementerian Kewangan baru-baru ini.
Apa yang ibu ayah & anak dapat?
Bersempena pembukaan sekolah pada 2022 kelak, kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 berbanding hanya RM100 sebelum ini!
Menariknya, kos bantuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM450 juta yang dijangka dapat memanfaatkan kira-kira tiga juta murid yang layak di seluruh negara!
Suasana kondusif untuk anak-anak belajar
Tak hanya dengan itu, kerajaan juga bersetuju untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih infrastruktur sekolah yang memakan kos sebanyak RM1 bilion!
Ini bagi memastikan anak-anak kita semua dapat belajar dalam suasana pembelajaran yang begitu kondusif dan selesa.
Selain itu, peruntukan RM140 juta turut disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi menyelenggara sekolah-sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok berdaftar!
Untuk rekod, peruntukan kali ini lebih tinggi berbanding tahun terdahulu iaitu hanya sebanyak RM100 juta sahaja.
Naik taraf sekolah daif
Ibu ayah manalah yang sanggup biar anak belajar di sekolah yang daif, kan? Jangan risau.
Kerajaan juga berhasrat untuk menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara, termasuklah 112 projek di Sabah dan 165 projek di Sarawak dengan kos mencecah RM746 juta.
Malah, kerajaan juga akan memperkasa agenda pendidikan khas dengan membiayai pembelian peralatan mengajar serta menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas dengan kos berjumlah RM50 juta!
Untuk pengetahuan ibu ayah, kerajaan juga membina lapan buah blok baharu pendidikan khas, antaranya di Sek. Men. Keb. Tuanku Lailatul Shahreen di Perlis dan Sek. Keb. Kampung Tun Razak, Bukit Katil, Melaka.
Kriteria & syarat-syarat kelayakan
Jadi ibu ayah, berikut di bawah adalah senarai kriteria serta syarat-syarat kelayakan anak-anak anda untuk BAP 2022 seperti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ini kriteria-kriterianya:-
- Murid warganegara Malaysia (perlu dibuktikan dengan sijil lahir/Mykid/Mykad yang disahkan atau apa-apa dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia)
- Murid tahun satu hingga tingkatan lima atau yang setaraf dengannya yang berasal daripada kalangan isi rumah berpendapatan bulanan kasar sebanyak RM3,000 dan ke bawah pada tahun semasa. Pendapatan kasar bulanan adalah pendapatan yang mengambil kira gaji hakiki/pokok dan elaun-elaun tetap sahaja. Elaun lebih masa dan elaun-elaun yang bersifat tidak tetap tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan kasar bulanan
- Bantuan ini diberikan kepada murid-murid yang bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Swasta (selain sekolah antarabangsa)
Macam mana bantuan disalurkan?
Untuk makluman ibu ayah, bantuan ini akan disalurkan oleh KPM secara berperingkat terus ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah, atau akaun khas Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun KWK.
Kesimpulannya di sini, ibu ayah usahlah risau tentang persediaan pembukaan sekolah tahun depan nanti. Banyak yang kerajaan akan ‘belanja’ bagi meringankan beban kita semua.
Anak-anak, selamat kembali ke sekolah!