Siakap Keli

8 Kelebihan Bekerja Sendiri Dan Sebab Mereka Ini Dihargai Dalam Bajet 2022

Ramai salah faham bila orang cakap kerja sendiri tu orang yang malas nak kerja dengan orang lain atau orang yang malas cari kerja. Tapi, tahukah anda orang yang bekerja sendiri ini mencipta peluang kerja tersendiri dengan cara yang lebih kreatif dan berinovasi, serta tak ketinggalan, juga, mempunyai kelebihan yang tersendiri, di mana orang lain tak kan mungkin dapat. Antaranya: 

  1. Kawalan penuh terhadap kualiti kehidupan. 

  2. Sesuai untuk orang yang kreatif kerana berpeluang mencipta dan menghasilkan sesuatu daripada kerja rutin dan sistem rigid. 

  3. Anda tentukan masa bekerja tanpa paksaan mana-mana pihak. 

  4. Tiada drama dan politik di tempat kerja, membuatkan masa boleh difokuskan kepada kerja sepenuhnya. 

  5. Boleh tapis ingin bekerja sama atau berurusan dengan individu atau syarikat.

  6. Jadi bos untuk diri sendiri. 

  7. Berpeluang bantu orang lain. 

  8. Insentif sehingga 80% oleh kerajaan.

Fakta terakhir tu yang paling ditunggu-tunggu. Kerajaan dijangka memberikan insentif sehingga 80 peratus kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi individu bekerja sendiri tahun depan.

SPS Lindung ataupun Skim Bencana Pekerjaan adalah salah satu bantuan kerajaan yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2022. SPS Lindung diwujudkan bagi menyediakan perlindungan keselamatan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), PERKESO kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS).

Berikut merupakan antara perkara bermanfaat bagi mereka yang bekerja sendiri dan kepada individu dalam sektor informal.

Skim Jaminan Kredit Perumahan

Kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM 2 bilion kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk memberi akses pembiayaan kepada golongan pekerja gig, pengusaha kecil dan petani yang sukar membeli rumah kerana tiada bukti pendapatan tetap. 

Skim ini akan memberi kemudahan kepada pekerja bergaji harian, pemilik perniagaan berskala kecil serta golongan petani untuk mendapatkan pinjaman perumahan dan memiliki rumah sendiri.

Pencaruman PERKESO bagi Pekerja Sendiri dan Sektor Informal

Liputan perlindungan sosial negara di bawah PERKESO bagi pekerja sendiri dan sektor informal dengan nilai caruman 80% telah diluaskan

kepada 9 kategori pekerja sendiri.  baharu Antara petani, nelayan, penjaja, artis, ejen pelancongan dan petugas Pemulihan dalam Komuniti. 

Setakat 5 November lalu, hanya 337,765 pekerja daripada lebih lima juta individu yang bekerja sendiri mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

“Mereka yang belum mencarum digalakkan berbuat demikian secepat mungkin demi kebaikan sendiri kerana manfaat SKSPS tidak terhad kepada faedah perubatan sahaja, malah termasuk faedah hilang upaya kekal, hilang upaya sementara, orang tanggungan dan sebagainya,” katanya memetik laporan Bernama.

Perluasan i-Saraan

Melalui inisiatif i-Saraan, kerajaan mencarum sebanyak 15% daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum RM250 setahun. Inisiatif ini akan diperluaskan kepada mereka yang berumur antara 55 hingga 60 tahun.

Kredit gambar: Kementerian Kewangan Malaysia

Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang

Perlindungan takaful diberi kepada semua ahli peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Skim Perlindungan Takaful Smart Card Peladang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Menurut laporan Sinar Harian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan semua 920,678 ahli peladang di seluruh negara akan menerima Smart Card Keluarga Peladang (Peladang-i) menjelang penghujung tahun depan.

Menurut Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, kad pintar tersebut berfungsi sebagai kad identiti keahlian Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memudahkan transaksi pembayaran tanpa tunai dalam urusniaga ahli dengan semua operasi perniagaan Pertubuhan Peladang.

Bagi mendapatkan maklumat dengan lebih lanjut berkenaan Inisiatif Pekerja Sendiri, sila klik disini. https://www.mof.gov.my/ 

Nur Farra