Hampir dua tahun pandemik ‘membadai’ seluruh dunia termasuk Malaysia. Berikutan daripada itu banyak syarikat yang sudah ‘gulung tikar’ akibat wabak ini. Malah, ada juga dalam kalangan majikan terpaksa memberhentikan pekerjanya demi menampung kerugian yang dialami.
Pembentangan bajet tempoh hari membuka banyak insentif baharu kepada majikan agar operasi perniagaan dapat diteruskan seperti sedia kala.
Hal ini demikian kerana apabila syarikat kembali ‘hidup’ dan aliran kewangan sesebuah perniagaan tersebut kembali normal, tidak akan ada lagi masalah yang memaksa majikan membuang pekerja.
1. Insentif kepada Majikan yang Menggaji Perantis
Golongan perantis sangat diperlukan oleh majikan untuk mengisi kekosongan di syarikat tertentu. Oleh itu, kerajaan akan menyediakan insentif kepada mana-mana majikan yang menggaji perantis sama ada lepasan sekolah mahupun graduan universiti.
Insentif itu akan diberi jika majikan menggajikan perantis yang berusia 18 hingga 30 tahun. Jumlah insentif sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan iaitu meningkat jika dibandingkan dengan RM800 sebulan sebelum ini.
Selain itu majikan diberi insentif penggajian Jaminkerja bagi pengambilan dan penggajian pencari kerja, golongan rentan, wanita, sektor utama dan bagi jawatan menggantikan pekerja asing.
2. Potongan Cukai Sebanyak Dua Kali Ganda Bagi Syarikat Yang Memberi Biasiswa Kepada Pelajar IPT

Selain itu, kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai sebanyak dua kali bagi mana-mana majikan yang memberikan biasiswa kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Potongan cukai itu akan diperluaskan kepada semua bidang pengajian termasuk Teknikal dan Vokasional, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah. Galakan cukai ini dilanjutkan untuk 4 tahun mulai tahun taksiran 2022 hingga tahun taksiran 2025.
3. Pelanjutan Potongan Cukai ke atas Kos Pengubahsuaian dan Pembaharuan Premis

Seterusnya, dalam usaha memastikan pembukaan ekonomi yang selamat dan bersesuaian dengan norma baharu majikan boleh melakukan pengubahsuaian yang mematuhi keperluan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Kerajaan juga bercadang melanjutkan potongan cukai sebanyak RM300,000 sehingga 31 Disember 2022 ke atas kos yang melibatkan ubah suai dan pembaharuan premis.
4. Potongan Cukai Tambahan atas Perbelanjaan Sewaan Premis Penginapan Pekerja
Berikutan pandemik yang melanda dunia, kos sewaan premis semakin meningkat. Oleh itu, kerajaan turut memberikan potongan cukai tambahan sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan yang melibatkan sewaan premis penginapan pekerja.
Tempoh bagi potongan cukai ini juga dilanjutkan untuk tempoh satu tahun lagi. Namun demikian, potongan cukai ini hanya akan diberikan ke atas syarikat yang berdaftar di bawah Safe@Work.
5. Kelanjutan Elaun Pelaburan Semula Earnings Per Share (EPS) Tambahan
Atas keprihatinan kerajaan terhadap syarikat sedia ada di Malaysia, kerajaan turut melanjutkan elaun pelaburan semula (EPS) tambahan untuk tempoh dua tahun kepada syarikat sedia ada ini.
Tetapi pelanjutan EPS itu hanya diberikan kepada syarikat yang telah tamat tempoh kelayakan EPS dan EPS khas. Hal ini menjadikan tempoh keseluruhan EPS tambahan ini kepada 5 tahun.
6. Pelepasan / Potongan Cukai atas Kos Berkaitan Pengambilan Vaksin Penggalak

Bukan itu sahaja, kerajaan turut mengambil berat mengenai pemberian dos penggalak untuk meningkatkan imunisasi individu.
Dos penggalak ini merupakan dos yang diberi kepada individu yang sudah menerima vaksin dos primer sebagai rangsangan imuniti yang optimum tetapi imuniti mereka menurun selepas 6 bulan menerima dos primer lengkap.
Oleh itu, pelepasan cukai individu dan potongan cukai diberikan kepada majikan ke atas kos yang berkaitan pengambilan vaksin penggalak yang dibiayai sendiri.
7. Voluntary Carbon Market
Bagi memenuhi sasaran neutral karbon, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengumumkan inisiatif Voluntary Carbon Market yang akan dilancarkan di bawah kendalian Bursa Malaysia bagi memenuhi sasaran neutral karbon.
Inisiatif ini akan bertindak sebagai platform sukarela bagi dagangan kredit karbon antara pemilik aset hijau dengan mana-mana entiti ke arah peralihan amalan rendah karbon.
Hal ini bertujuan, jika Voluntary Carbon Market ini dilancarkan amalan lestari dapat ditingkatkan dan dapat mengurangkan gas karbon. Voluntary Carbon Market ini turut menambah penggunaan bahan mentah lestari dan tenaga boleh diperbaharui.
8. Program Latihan dan Bimbingan Perniagaan dan Skim Pembiayaan Mudah Francais
Bagi usahawan francais, RM74 juta diperuntukkan bagi program latihan dan bimbingan perniagaan. Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) telah menyediakan program latihan, bimbingan perniagaan dan skim pembiayaan mudah 0% selama 6 bulan pertama beserta moratorium kepada yang berminat menjadi usahawan francais. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh layari https://pernas.my/
9. Skim RESET (Rehabilitation and Support Through Equity)
Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah gearing atau leveraj, kaedah pendanaan bernilai RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity akan diperkenalkan. Kaedah ini akan diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama TERAJU dan BSN dengan dana bernilai RM600 juta dan terbuka kepada semua terutama usahawan Bumiputera.
Selain itu, BPMB juga akan menawarkan Skim RESET (atau Rehabilitation and Support Through Equity) dan BNM juga menyediakan Business Recapitalisation Fund bernilai 1 bilion ringgit untuk tujuan yang sama.
10. Skim Semarak Niaga Keluarga Malaysia – Penambahbaikan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan
Kerajaan turut menyediakan pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan sebanyak RM40 bilion yang disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bagi tahun 2022. Pakej ini bertujuan mengembalikan keupayaan perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) serta sektor informal.
● Peningkatan had jaminan pembiayaan perniagaan sehingga RM10 bilion sebagai tambahan kepada RM20 bilion yang diumumkan di bawah pakej PEMULIH
● Menjamin kemudahan pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula sehingga 80% untuk tempoh 36 bulan, sehingga maksimum RM20 juta termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik
● Menjamin kemudahan pembiayaan baharu sehingga 80%, termasuk ketika tempoh pemberian 12 bulan moratorium bayaran balik
11. Skim Semarak Niaga Keluarga Malaysia – Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI)
Kerajaan turut menyediakan kemudahan pembiayaan mikro untuk memperkasa sosioekonomi komuniti India. Bagi yang berminat anda boleh membuat permohonan SPUMI Tekun dengan klik link di bawah: https://www.tekun.gov.my/en/tekun-entrepreneur/indian-community-entrepreneur-development-s cheme-spumi/