Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan keperihan ibu ini yang sanggup berpanasan menjual air tebu di tepi jalan sambil mendukung anaknya yang masih kecil.
Kisah ketabahan ibu muda dari Tawau, Sabah ini sempat dikongsikan oleh warga Facebook termasuk Ustaz Hasbi melalui akaun miliknya, Vitaminbae. Hantaran Ustaz Hasbi ini turut mendapat sorotan warga net sehingga dikongsi sebanyak 1.6 ribu kali di Facebook. Ikuti perkongsian Ustaz Hasbi di bawah.
Menjual tengah panas dukung anak tiga bulan
Semalam, ramai kawan-kawan di Facebook ni tag kami berkenaan seorang akak yang menjual air tebu di tepi jalan berhadapan SMK Kuhara Tawau. Terima kasih kami ucapkan kepada semua kawan-kawan yang prihatin, jazakumullah kheir.
Alkisahnya, perancangannya ingin mencari akak ni petang hari. Sekitar jam dua kami melalui tempat ini, rezeki berjumpa dengan akak ni pada awal masa dia buka jualannya. Alhamdulillah.

Luar biasa semangat akak ni. Dalam cuaca tengahari yang tidak menentu ditemani anaknya yang baru berusia tiga bulan, sang ibu tetap kuat berjuang menghabiskan jualannya. Subhanallah!
Alhamdulillah, dapat berkongsi sedikit rezeki kawan-kawan semua dengan memborong semua air tebunya. Yang saya terharu, bila akak ni kata rezeki ni dia nak bagi-bagi dengan anak jirannya berusia lima bulan yang diuji dengan sakit lumpuh. Allahu akbar.

Moga ada masa nanti kita dapat berjumpa dengan anak yang dimaksudkan. Amin. Terima kasih juga kepada semua yang terus membantu misi-misi kecil kita. Moga Allah redha.
“Kita di dunia ni bersusah-susah dulu, nanti di akhirat baru kita berehat”
Kisah ibu muda yang dikenali sebagai Puan Humairah ini turut dikongsikan Ustaz Hasbi di siaran YouTube miliknya. Dalam video yang diumuatnaik di channel Vitaminbae ini, Ustaz Hasbi sempat menemubual Puan Humairah yang juga merupakan ibu kepada tiga orang anak.
Menurut Puan Humairah, dia baru saja mencuba-cuba berniaga air tebu yang digiling sendiri bersama suami dengan harapan rezeki berpihak kepada mereka. Ketika ditemui pengunggah, Puan Humairah berkata ia merupakan hari ketiga dia berniaga.

Dalam video yang sama, dapat dilihat wanita tersebut menggendong anak kecil sambil berjualan air tebu dengan harga RM5 sebotol. Namun bayi berusia tiga bulan itu seperti memberi ‘kerjasama’ kepada sang ibu dan sikit pun tak meragam.
“Mahu cari rezeki tu kenalah bersusah-susah. Kita di dunia ni bersusah-susah dulu, nanti di akhirat baru kita berehat. Selagi masih ada hayat, kita berusaha sajalah mana yang mampu kan?” kata Puan Humairah kepada Ustaz Hasbi.
Walaupun dalam keadaannya yang membanting tulang mencari rezeki, Puan Humairah masih memikirkan orang lain yang baginya lebih susah dan berniat berkongsi rezeki. Ikuti video penuh kisah Puan Humairah di bawah ini.
Bagi warga Tawau yang nak buat tempahan air tebu fresh, boleh berhubung dengan Puan Humairah di talian 016-7542739 atau walk-in ke tempat Puan Humairah meniaga di depan SMK Kuhara, Tawau.