JELI – Sepasukan anggota bomba menyelamatkan seorang wanita yang tidak turun dari sebatang pokok akasia selepas memanjat setinggi 9.1 meter di Jalan Lubok Dulang, Ayer Lanas hari ini.
Punca kejadian difahamkan bahawa mangsa, berusia 51 tahun dipercayai berhalusinasi dan seterusnya memanjat pokok itu tanpa sedar.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihak mereka menerima panggilan daripada keluarga mangsa kira-kira jam 9.33 pagi sebelum sembilan anggota bomba diarahkan ke lokasi kejadian. Hasil pemeriksaan di lokasi itu mendapati bahawa mangsa berada dalam keadaan lemah dan ketakutan.
“Melihat kepada situasi itu, anggota bomba mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk dan menenangkan mangsa. Selepas berjaya memujuknya, bomba menggunakan peralatan menyelamat seperti tali dan tangga untuk menurunkan wanita itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa yang berada dalam keletihan diserahkan kepada keluarganya dan operasi menyelamat tamat pada pukul 10.30 pagi tadi.
Sumber: Utusan Malaysia