Siakap Keli

MAF Dan PERKESO Jalin Kerjasama Strategik Laksana ‘Prevention & Disability Management Program’ Untuk Golongan ODHA

KUALA LUMPUR, 6 Disember 2021 – Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjalinkan kerjasama bagi membina hubungan strategik yang akan memanfaat dan memperkasakan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) dari kalangan pencarum PERKESO melalui aktiviti berteraskan aspek pencegahan, pemulihan dan pengurusan hilang upaya.

Kerjasama ini dimeterai menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh Pengerusi MAF, Professor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman dan Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, hari ini.

Melalui MoU ini, kedua-dua agensi akan bekerjasama melaksanakan ‘Prevention and Disability Management Program’. Program ini merangkumi pelaksanaan inisiatif pengurusan hilang upaya yang komprehensif dan dinamik, di samping inisiatif pencegahan dan promosi kesihatan, khusus buat golongan ODHA dari kalangan pencarum PERKESO dengan matlamat memberikan mereka sinar baharu dan kehidupan yang lebih baik.

Pada majlis yang sama juga, PERKESO telah memberikan sumbangan berjumlah RM276,000 kepada Skim Bantuan Perubatan atau Skim PAL di bawah kelolaan MAF untuk membiayai rawatan second-line Antiretroviral Therapy (ARV). Bantuan ini dijangka dapat membantu untuk menampung kos rawatan yang diterima oleh ODHA dari kalangan pencarum PERKESO sehingga 12 bulan sekaligus memperbaiki mutu kualiti kehidupan dan menyuntik semangat kepada mereka untuk terus bekerja dan menyumbang secara positif dalam pertumbuhan ekonomi negara. Siaran Media

“Sokongan PERKESO terhadap program Skim Bantuan Perubatan MAF adalah kritikal terhadap sasaran untuk mengakhiri epidemik AIDS menjelang tahun 2030, yang amat bergantung kepada sejauh mana kita dapat menghubungkan ODHA dengan rawatan ARV.”

“ARV merupakan senjata paling efektif untuk kita menghalang kesan negatif jangkitan virus HIV dalam tubuh badan manusia. Dengan ARV, jangkitan HIV yang dahulunya dianggap sebagai hukuman maut kini berubah menjadi pengalaman hidup yang menghampiri normal,” memetik Professor Dato’ Dr. Adeeba.

“MAF juga amat mengalu-alukan pendekatan progresif PERKESO terhadap ODHA di tempat kerja, yang diharap akan dapat menjadi pemangkin kepada usaha yang lebih meluas untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi terhadap golongan ini,” ujar beliau lagi.

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman pula berkata, “PERKESO sentiasa menyokong sebarang usaha untuk melindungi kepentingan warga kerja di Malaysia, termasuklah golongan ODHA. Sumbangan kami menerusi Skim Bantuan Perubatan (Skim PAL) ini adalah manifestasi keyakinan kami terhadap potensi dan keupayaan golongan ODHA untuk pulih dan kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif dan mempu menyumbang kepada pembangunan negara.”

“PERKESO maklum bahawa stigma dan diskriminasi terhadap ODHA masih wujud. Akses kepada sektor pekerjaan yang bebas daripada diskriminasi merupakan hak setiap insan. PERKESO akan terus bekerjasama dengan MAF dalam memberi sokongan dan bantuan kepada golongan ODHA terutamanya melibatkan aspek pencegahan, pengurusan hilang upaya dan penempatan pekerjaan.”

Dalam pada itu, MAF turut menjemput Puan Norlela Mokhtar, 51, seorang ODHA dan penerima manfaat Skim Bantuan Perubatan untuk berkongsi pengalamannya mengenai perubahan yang dialami setelah memulakan rawatan ARV.

Nur Farra

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.