Berita baik untuk penduduk di Kedah apabila mereka boleh mendapatkan pengurangan bayaran saman terpilih sehingga 80 peratus dengan had minima sebanyak RM30. Berita baik itu dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Rozee Shaari yang memaklumkan bahawa semua pembayaran kompaun boleh dibuat di Kaunter Bayaran Saman Trafik Kontinjen Kedah dan Aplikasi Mybayar Saman.
Pembayaran saman tersebut boleh dilakukan sepanjang tempoh empat hari bermula Khamis hingga Ahad depan termasuk hari cuti umum Jumaat dan Sabtu.
Tambah Datuk Rozee, tawaran itu dibuat bersempena dengan 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Bagaimanapun, tawaran itu tidak termasuk kesalahan kemalangan, memotong secara merbahaya, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuhi isyarat lampu merah dan memotong di garisan berkembar. “Pengurangan kompaun juga tidak ditawarkan bagi kesalahan dikategorikan tidak boleh kompaun (NC), kesalahan yang berstatus perbicaraan, kesalahan berkaitan kenderaan berat dan kesalahan pengubahsuaian ekzos kenderaaan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, orang ramai mahupun syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui Portal Rasmi PDRM atau pautan https://[email protected]/. Selain itu, mereka juga boleh muat turun aplikasi di Platform Google Playstore, Apple Appstore dan Huawei Appgallery dan seterusnya membuat pembayaran melalui aplikasi tersebut.
Orang ramai turut diminta agar sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) semasa berurusan di kaunter bayaran trafik bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Datuk Rozee juga memaklumkan bahawa dia lebih menggalakkan orang ramai untuk membuat pembayaran secara dalam talian.
Sumber: Sinar Harian