Seramai sembilan orang guru termasuk seorang guru besar di sebuah sekolah didakwa merogol dan mencabul empat murid di daerah Rajasthan Alwar, New Delhi.
Menurut laporan daripada India Today, kes tersebut telah terbongkar selepas bapa kepada salah seorang mangsa bertanyakan alasan anaknya tidak pergi ke sekolah. Mangsa yang menduduki kelas 10 kemudian memberitahu ayahnya bahawa dia telah menjadi mangsa rogol secara berkumpulan di sekolah sudah lebih setahun.
Selain itu, murid tersebut juga mendakwa bahawa terdapat dua guru perempuan berada di sana namun bertindak untuk merakamkan perbuatan terkutuk tersebut.
Menurut Pegawai Polis Mandhana, Mukesh Yadav, pihaknya telah menerima tiga laporan polis dan akan menyiasat perkara tersebut dengan lebih lanjut. Tiga mangsa lain yang merupakan murid di Kelas Enam, Empat dan Tiga turut membuat aduan sama bahawa mereka telah dirogol oleh sekumpulan guru tersebut.
“Mangsa turut memberitahu mereka akan dibunuh sekiranya membongkarkan kejadian tersebut,” katanya.
Tambah Yadav lagi, mangsa memberitahu bahawa sekiranya ada seorang mangsa memberitahu perkara tersebut kepada seorang guru wanita, kesnya cuba ditutup dengan menawarkan tanggungan yuran pembelajaran dan buku. Guru tersebut malah meminta mangsa untuk tidak membuat aduan kepada sesiapapun termasuk ibu bapa mereka.
“Guru itu membawa mangsa ke rumah tiga guru termasuk guru besar yang berada di sana beberapa kali. Kesemua suspek mengambil alkohol dan dalam keadaan mabuk menanggalkan pakaian mangsa sebelum melakukan perbuatan terkutuk,” katanya.
Sementara itu, seorang bapa yang datang ke sekolah bagi membuat aduan mengenai kejadian rogol itu telah diugut oleh guru besar sekolah tersebut dengan memberitahu untuk membunuhnya.
“Guru besar itu mengugut abangnya ialah seorang menteri. Dia beritahu, kalau saya buat aduan, dia akan bunuh saya,” luahnya.
Sumber: Utusan Melayu