Satu video rakaman CCTV yang memaparkan detik-detik seorang wanita bersama dengan dua kanak-kanak hampir dilanggar kereta api telah tular di media sosial.
Motosikal yang dinaiki oleh ketiga-tiga mereka itu dilaporkan secara tiba-tiba mati di tengah-tengah landasan kereta api tersebut.
Dalam video itu, dapat dilihat bahawa terdapat seorang wanita yang membawa dua orang kanak-kanak bersamanya sedang melintasi landasan kereta api.
Namun, tiba-tiba motosikal yang dinaikinya telah mati betul-betul di tengah landasan kereta api tersebut.
Wanita tersebut kelihatan panik dan cuba untuk menolak motornya menyeberangi landasan berkenaan namun tidak berhasil.
Kedua-dua kanak-kanak itu kemudiannya terus turun daripada motosikal sementara ibu mereka berusaha untuk menarik semula motosikalnya. Dapat dilihat bahawa gadis yang memakai uniform sekolah itu juga turut cuba untuk membantu ibunya menarik motosikal tersebut.
Namun disebabkan ada kereta api yang sedang menghampiri mereka, motor tersebut akhirnya ditinggalkan di tengah landasan.
Tidak lama kemudian, kereta api terbabit terus merempuh motosikal berkenaan. Mujur wanita tersebut bersama dua anaknya itu terselamat.
Menurut portal suarajatim.id, kejadian itu berlaku di persimpangan kereta api Kaliboto Kidul, Kecamatan Jatiroto, Lumajang, Jawa Timur, Indonesia.
Video cemas itu lantas menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah ditonton lebih 500 ribu kali.
View this post on Instagram
Sumber: suarajatim.id