Siakap Keli
Kredit: Astro Awani

Tiga Kedai Dan Sebuah Rumah Di Alor Setar Hangus Dijilat Api

ALOR SETAR: Satu kebakaran besar telah berlaku di Kampung Alor Gunung, Jalan Gunung Keriang di sini, pada pukul 8 pagi ini. Kebakaran tersebut telah menyebabkan tiga buah kedai dan sebuah kediaman musnah dijilat api.

Tiga kedai yang terlibat dengan kebakaran marak tersebut adalah kedai perabot, kedai jualan lampin pakai buang, kedai dobi.

Menurut pemilik kedai dobi, Nurhaitulnisaq Abu Hassan, 26, dia tidak menyangka rancangannya dengan suami untuk berpindah lokasi premis perniagaan ke Kepala Batas yang berdekatan rumahnya tidak kesampaian berikutan tragedi yang menimpanya pada hari ini.

Tambahnya lagi, sebenarnya dia berhasrat untuk mencari kedai yang lebih baik dan selesa berbanding kedai dobi ini kerana strukturnya yang menggunakan kayu.

Nuhaitulnisaq juga memberitahu bahawa kebakaran itu telah menyebabkan semua baju pelanggan yang dihantar ke dobinya hangus terbakar. Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa menanggung kerugian yang besar kerana lima buah mesin basuh dan sebuah mesin pengering juga musnah dijilat api. Menurutnya, menggangarkan kerugian yang perlu ditanggung lebih daripada RM80,000.

“Baru semalam saya dan suami berbincang kalau boleh nak cari kedai yang dekat dengan kawasan perumahan, namun, tidak sangka hari ini jadi macam ini (kebakaran),” katanya.

Kejadian itu turut menyebabkan kedai lampin pakai buang musnah dijilat api. Menurut pemiliknya, Ibrahim Ismail, 33, dia berada di rumahnya semasa kejadian itu berlaku.dan terkejut apabila jirannya memaklumkan bahawa  kedai miliknya terbakar. Sebaik sampai di lokasi, dia ternampak api sudah marak dan kedainya sudahpun hangus terbakar.

“Tidak ada apa yang selamat, (stok) lampin baru saya tambah, semuanya habis (musnah)… anggaran kerugian lebih RM10,000,” ujarnya.

Selain daripada tiga kedai itu, sebuah rumah juga telah terbakar. Penghuni rumah tersebut, Ismail Ibrahim, 70, memberitahu bahawa lengan kanannya telah melecur ketika hendak menyelamatkan isterinya, Rohani Dahalan, 67, dan mengambil barangan rumah. Tambah Ismail, dia cuba memasuki rumahnya dengan menyuluh lampu untuk ambil pakaian disebabkan bekalan elektrik terputus.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.22 pagi.

Sejurus selepas panggilan diterima, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar dan dibantu pasukan dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi jam 8.30 pagi dan berjaya mengawal api pada jam 8.43 pagi daripada merebak ke beberapa kedai berhampiran.

Menurut laporan yang diterima, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun terdapat seorang penghuni rumah yang melecur di lengan kanan dan segera diberi rawatan oleh anggota dari Unit EMRS.

“Lima deretan rumah kedai kelas B, iaitu separa kayu dan batu setingkat dilaporkan terbakar dalam kejadian ini. Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” jelas Ahmad Naufal.

Sumber: Astro Awani

Akhmar Ikmal

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.