Siakap Keli
Kredit : via Oddity Central

“Saya Mahu Kehidupan Mereka Jadi Lebih Baik,” Dianggap Wira, Doktor Ini Jalankan 37 Ribu Pembedahan Percuma Untuk Kanak-kanak

Seorang pakar bedah plastik India mendapat pujian sebagai ‘wira tanpa jubah’ selepas menghabiskan sebahagian besar hidupnya merawat masalah sumbing kanak-kanak, lapor Oddity Central.

Lelaki itu dikatakan telah melakukan lebih 37, 000 prosedur pembedahan percuma bagi membetulkan sumbing lelangit dan bibir sumbing yang dialami oleh kanak-kanak. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau mahu memberi mereka peluang untuk merasai kehidupan yang lebih baik.

Menurut CDC, sumbing bibir dan sumbing lelangit merupakan kecacatan kelahiran yang berlaku apabila bibir atau mulut bayi tidak terbentuk dengan betul semasa kehamilan. Kecacatan ini menyebabkan bayi susah mendapatkan susu, kes pumbulian dan diskriminasi di kemudian hari.

Kedua-dua kecacatan ini boleh diperbetulkan dengan mendapatkan bantuan pembedahan plastik. Malangnya, prosedur ini tidak tersedia untuk keluarga miskin yang memerlukan.

Kredit : The New Indian Express

“Menjadi seorang doktor meletakkan saya dalam kedudukan untuk membantu ramai orang. Saya mahu menjadikan kehidupan mereka lebih baik,” katanya kepada The Better India.

Menyedari bahawa bayi dan kanak-kanak yang dilahirkan dengan bibir dan lelangit sumbing memerlukan bantuan, pakar bedah plastik itu mula menganjurkan kem perubatan percuma yang dapat membantu pesakit.

Usahanya tidak lama kemudian disedari oleh Smile Train, sebuah inisiatif global yang memfokuskan pada pembedahan sumbing. Dengan mendapatkan sokongan daripada mereka dan badan NGO lain, Dr. Singh dapat membantu lebih ramai orang.

“Bayi ini tidak boleh menyusu seperti bayi yang normal. Ramai yang meninggal dunia kerana kekurangan zat makanan dan sering mengalami tumbesaran yang terbantut. Kanak-kanak sukar menggunakan lidah untuk bercakap dan menyebabkan mereka mengalami masalah pertuturan.”

“Ada yang berhenti sekolah kerana cara percakapan mereka atau dibuli dan ada yang sukar untuk mencari pekerjaan. Dalam kes ini, si ibu dipersalahkan, dikutuk dan ditinggalkan kerana hamil anak sumbing. Ia juga boleh menimbulkan kesan psikologi kepada ibu bapa. Oleh itu, dengan pembedahan, masalah ini boleh diselesaikan.”

Kredit : Subodh Kumar Singh via Oddity Central

Sejak beliau menjalankan rawatan ini pada tahun 2004, Dr. Singh dikatakan telah melakukan pembedahan lebih 37, 000 prosedur. Dengan bantuan yang diterima, beliau dapat melatih berpuluh-puluh doktor lain di seluruh India untuk membetulkan kecacatan ini.

Tambahnya lagi, beliau berharap suatu hari nanti dapat menubuhkan pusat kebangsaan untuk memberikan rawatan pembedahan bibir sumbing.

Sumber : Oddity Central

Fathin Nadzira

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.