Umum mengetahui, penggunaan telefon bimbit semasa memandu atau menunggang kenderaan adalah antara penyumbang berlakunya kemalangan jalan raya.
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM melalui laman Facebook rasmi mereka ada berkongsikan segmen info trafik mengenai ‘Guna Telefon Bimbit Semasa Memandu Boleh Dihadapkan Ke Mahkamah’.
Menerusi perkongsian infografik tersebut, kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh diletakkan di bawah kaedah 17A, LN166/59, dan kesalahan tersebut telah dikategorikan sebagai saman yang tidak boleh dikompaunkan dan kes ini perlu diselesaikan di mahkamah.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan sehingga mencecah RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan.
Hukuman denda bakal dikenakan sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika ianya melibatkan kesalahan sabitan kali kedua.
Penggunaan telefon bimbit semasa memandu bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri sendiri malah terhadap orang lain.
Hal ini dikatakan demikian kerana, penggunaan telefon bimbit semasa pemanduan boleh menyebabkan pemandu akan mudah untuk mengalami 4 gangguan ini.
1. Hilang tumpuan semasam pemanduan.
2. Tiada kawalan di stereng pada kenderaan.
3. Gangguan emosi.
4. Tindakbalas semasa kemalangan akan terganggu.