UK telah merekodkan jumlah kes Covid-19 harian tertinggi sejak munculnya wabak itu dengan sejumlah 78, 610 kes dilaporkan pada semalam (15 Disember 2021). Rekod kedua tertinggi pernah direkodkan pada 8 Januari dengan 68, 053 kes dimana ketika itu UK masih lagi dalam tempoh ‘berkurung’.
Menerusi satu sidang akhbar, Ketua Pegawai Perubatan England, Prof Chris Whitty memberi amaran bahawa kes akan banyak dicatat dalam beberapa minggu akan datang. Tambahnya, orang ramai harus mengutamakan perkara yang penting berkaitan pergaulan sosial menjelang Krismas nanti.
Sementara itu, Perdana Menteri, Boris Johnson berkata, adalah sangat penting bagi setiap orang mendapat suntikan penggalak.
“Saya khuatir kita juga melihat peningkatan yang tidak dapat dielakkan dalam kemasukan ke hospital. Ia meningkat sebanyak 10% secara nasional, minggu ke minggu, dan meningkat hampir satu pertiga di London”, katanya.
Prof Whitty berkata, negara itu sedang mengalami dua wabak berasingan, satu didorong oleh varian Omicron yang sangat pesat berkembang dan satu lagi oleh varian Delta.
“Saya khuatir kita perlu realistik bahawa rekod akan banyak dicatat dalam beberapa minggu akan datang kerana kadarnya terus meningkat,” tambahnya.
Whitty menggalakkan orang ramai untuk mengambil ujian sebelum melawat orang yang mudah dijangkiti dan bertemu di kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik atau di luar rumah jika boleh.
Perdana menteri berkata, kerajaan tidak membatalkan acara Krismas dengan menyekat perhimpunan atau menutup bar dan restoran, tetapi mengingatkan orang ramai untuk berfikir dengan teliti.
“Saya berkata berkali-kali bahawa saya mahukan Krismas ini jauh lebih baik daripada Krismas lalu, dan saya berpegang pada itu”, katanya.
Sumber: BBC