SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) — Polis memberkas dua lelaki warga tempatan yang menyamar sebagai penjawat awam dan menyamun warga asing di sekitar daerah Kuala Langat, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua suspek berumur awal 30-an itu ditahan antara 1.45 tengah hari dan 4.15 petang di Jalan Sungai Klang dan Jalan Kapar di Klang, dekat sini.
Ahmad Ridhwan berkata penahanan kedua-dua suspek tersebut adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang pekerja buruh binaan warga India berusia 30-an yang ditahan dua lelaki menaiki Perodua Myvi di Taman Muhibbah, Banting, Kuala Langat pada 8 Dis lepas.
“Seorang daripada suspek telah memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen dari Shah Alam dan meminta mangsa yang juga bekerja sebagai pembantu kedai makanan supaya menunjukkan pasport kepada mereka. Apabila warga asing itu gagal menunjukkan pasport, mangsa telah dipaksa masuk ke dalam kereta dan dibawa ke sekitar kawasan Klang.
“Semasa dalam perjalanan, suspek telah memukul mangsa menggunakan kasut sebelum meminta wang sebanyak RM3,000 dengan menelefon majikan mangsa sekiranya mahu pekerjanya dilepaskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata majikan mangsa kemudiannya memasukkan sejumlah RM1,500 ke dalam akaun suspek sebelum mangsa dilepaskan di hadapan sebuah pasar raya di Klang.
Jelasnya lagi, modus operandi suspek adalah menyasarkan warga asing yang keluar berseorangan dengan mangsa akan dibawa ke Klang sebelum memeras ugut majikan mereka.
“Menerusi penangkapan tersebut, polis percaya telah menyelesaikan sembilan kes samun dan menyamar penjawat awam terhadap warga asing di daerah ini.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau dan kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA