Siakap Keli
Gambar via Utusan

Pengantin Baru Ditemui Lemas, Kali Terakhir Dilihat Redah Banjir Ambil Barang Rumah

Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak semalam ditemui pagi tadi dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Sepang, disyaki lemas.

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, tubuh lelaki berusia 26 tahun itu ditemui terapung oleh seorang penduduk kira-kira jam 11 pagi tadi. Pihak polis mendapati tiada unsur jenayah pada mayat mangsa dan dipercayai lemas.

“Menurut adiknya, mangsa kali terakhir dilihat ketika meredah banjir untuk mengambil barang rumah di Kampung Baru Lanjut di sini, yang pada ketika itu air berada pada paras dada,” kata Wan Kamarul, memetik laporan Utusan.

Mangsa yang juga seorang pegawai operasi di Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dikatakan baru sahaja mendirikan rumah tangga 12 Disember lalu. Berita kematian mangsa turut dikongsikan MAHB menerusi hantaran di laman Facebook MAHB hari ini.

Jelas Wan Kamarul, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk ujian calitan COVID-19 dan bedah siasat.

Sumber: Utusan

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.