KUALA LUMPUR – Sebanyak 86 kes Covid-19 baharu telah dikenal pasti dalam kalangan mangsa banjir. Jumlah tersebut menjadikan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 267 kes Covid-19 setakat 12 tengah hari Selasa.
Perkara tersebut telah diumumkan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. menurut Dr Noor Hisham, 75 daripada 86 kes yang dilapor hari ini telah dikesan melalui saringan kemasukan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala selebihnya adalah kes Covid-19 sedia ada dan sedang menjalani kuarantin sebelum kejadian banjir.
“Setakat ini tiada kejadian kes positif Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan situasi Covid-19 pada Selasa.
Tambah Dr Noor Hisham lagi, kesemua kes itu telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain dengan menempatkan sembilan kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hospital (12), PPS kuarantin (62) manakala tiga kes menjalani kuarantin di rumah.
Jelasnya, kejadian banjir juga berisiko untuk meningkatkan jangkitan penyakit yang lain. Antara penyakit yang ditakuti adalah keracunan makanan iaitu acute gostroenteritis (AGE), tifoid, dan kolera; penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); leptospirosis; jangkitan saluran pernafasan akut (ARI); penyakit kulit dan denggi.
Dr Noor Hisham turut memberitahu bahawa setakat ini, terdapat beberapa jumlah penyakit yang dapat dikesan melibatkan mangsa banjir telah dilaporkan ke Bilik Gerakan Banjir Kebangsaan. Antara penyakit tersebut adalah 203 kes ARI, 73 kes penyakit kulit, 19 kes AGE, 12 kes demam, dua kes cacar air dan 55 kes penyakit berjangkit lain
“Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis dan denggi yang dilaporkan sehingga kini,” katanya.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa cakna akan risiko penyakit berkaitan banjir yang mungkin terjadi. Selain itu, orang ramai juga perlulah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sebaik mungkin bagi membendung penularan Covid-19.
Orang ramai juga haruslah memaklumkan status risiko Covid-19 kepada agensi tindak balas sekiranya disahkan positif Covid-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan.
“Memakai kasut yang bertutup, seelok-eloknya kasut keselamatan sewaktu melakukan proses pembersihan pasca banjir. Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar. Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital berhampiran terutamanya bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan individu yang mempunyai komorbiditi,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 berikutan SOP yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya akibat banjir.
“Bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya Covid-19 dapat dibendung,” katanya.
Sumber: Sinar Harian