Siakap Keli
Gambar: Hello Doktor

Nak Makan Kuih Manis-manis, Tapi Bimbang Kerana Ada Diabetis? Ikuti 4 Petua Ini

Menikmati kuih-muih menjadi lebih sukar sekiranya anda menghidapi diabetis, kerana jika tidak kena gaya ia boleh membuatkan keadaan anda bertambah teruk.

Pelbagai kuih-muih yang dijual sudah pastinya membuatkan anda tidak tahan untuk menikmatinya.

Tetapi sebenarnya ada kuih muih yang boleh dimakan oleh pesakit kencing manis. Apa yang penting adalah kuih itu menepati kriteria-kriteria tertentu.

Untuk ketahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsian daripada Hello Doktor ini.

Gambar: Hello Doktor

Hakikatnya, menu untuk pesakit kencing manis itu tentu sekali sedikit berbeza dengan individu yang sihat tidak kira jika ia hidangan berat atau hidangan ringan seperti kuih-muih.

Ada juga orang yang percaya bahawa kuih-muih dalam kalangan masyarakat kita ini terlalu manis, sekali gus menjadikan ia agak tidak sesuai buat mereka yang ada diabetes.

Pun begitu, kuih untuk pesakit kencing manis itu masih boleh dibuat dan dimakan asalkan ia dapat menepati kriteria-kriteria tertentu. Jadi, jom teruskan membaca artikel!

Sesuaikah kuih untuk pesakit kencing manis?

Untuk pengetahuan anda semua, kuih-muih seperti seri muka, apam balik, donat dan sebagainya masih sesuai untuk diambil oleh penderita diabetes, TAPI dengan syarat tertentu.

Disebabkan itu juga, adalah lebih baik untuk kalian buat sendiri kuih yang anda ingin makan agar ia lebih sesuai serta tidak menjejaskan menu untuk pesakit kencing manis.

Antara aspek yang paling penting untuk diberi perhatian adalah komposisi gula, karbohidrat, lemak, serat dan kalori kuih-muih supaya ia tidak membahayakan tubuh badan.

Gambar: Hello Doktor

Berikut adalah antara petua-petua penting jika penghidap diabetes teringin untuk makan kuih atau buah:

#1. Gunakan tepung gandum jika ada diabetes

Umum mengetahui tepung adalah bahan utama dalam pembuatan kuih-muih dan jenis yang paling biasa digunakan adalah tepung jagung, tepung ubi atau tepung gandum.

Di antara jenis-jenis tepung di atas tadi, tepung gandum mungkin adalah pilihan yang terbaik ekoran ia lebih tinggi dengan kandungan serat khas buat pesakit kencing manis.

Kandungan serat yang tinggi itu mungkin sangat bagus untuk sistem pencernaan lebih baik di samping mampu mengawal peningkatan kadar gula dalam darah yang lebih cepat.

Dalam pada itu juga, kuih-muih yang berasaskan tepung gandum mampu buat anda kenyang lebih lama sekali gus menjadikan ia sesuai jika anda ada masalah berat badan.

Pun begitu, sudah tentu jenis tepung ini mungkin tidak sesuai untuk digunakan bagi pembuatan kuih-muih tertentu. Jadi, pertimbangkan jenis kuih yang sesuai buat anda.

#2. Gantikan gula dengan pemanis artifisial

Gambar: Hello Doktor

Pantang larang utama menu untuk pesakit kencing manis tentu sahaja ia tidak boleh rasa manis. Namun, apa pula nikmat kuih-muih jika rasa manis itu kurang atau tiada.

Usah rasa khuatir, ini kerana anda masih boleh menggantikan gula dengan pemanis artifisial seperti erythritol, stevia dan lain-lain lagi demi mendapatkan rasa manis itu.

Ya, mungkin ia tidak sama dan kurang ideal untuk digunakan dalam kuih-muih masyarakat kita kerana kebanyakannya akan sangat memerlukan gula pasir seperti donat.

Namun cuba fikir akan kesannya terhadap tubuh badan anda yang ada diabetes. Mungkin juga tidak salah untuk anda ‘berkorban’ sedikit untuk kesihatan yang lebih baik.

#3. Tukarkan mentega kepada minyak kanola

Selain tepung, mentega daripada hasil susu atau sayur juga adalah antara komponen penting dalam proses pembuatan kuih, namun ia wajar digantikan dengan minyak kanola.

Menurut American Diabetes Association, minyak kanola ini mengandungi lebih banyak lemak sihat yang mampu mempengaruhi sistem kardiovaskular penderita diabetes.

Apa yang agak musykil di sini adalah penggunaan minyak ini sebagai pengganti mentega mungkin lebih kompleks kerana anda perlu tambah bahan lain untuk menjadikan menu anda lebih enak.

Antara bahan-bahan yang mungkin anda perlu tambah seperti air, yogurt, susu, buah atau sayur dan ia perlu tepat kualiti dan kuantiti agar kuih-muih itu dapat kekal sihat.

Gambar: Hello Doktor

#4. Tambahkan serat kalau ada kencing manis

Angkara penyakit kencing manis, setiap apa yang kita makan dan minum termasuklah kuih-muih perlu tinggi serat agar kadar glukosa terkawal dan sentiasa di tahap terbaik.

Jika anda mahu buat dan makan kuih, maka sila tambahkan serat ke dalam menu untuk pesakit kencing manis anda itu dengan dua sumber serat utama yakni; sayur atau buah.

Sebagai contoh, anda mungkin mahu tambahkan jagung atau pisang di mana kedua-duanya ini adalah sangat sesuai dengan kuih-muih dalam kalangan masyarakat kita.

Bukan sahaja kena pada rasa, ia juga mungkin memiliki indeks glisemik yang agak rendah lantas menjadikan ia adunan tambahan paling ideal buat mereka yang ada diabetes.

Konklusinya, anda mungkin masih boleh masukkan kuih-muih kegemaran anda ke dalam menu untuk pesakit kencing manis asalkan 4 panduan di atas ini dapat diikuti dengan baik.

Sumber: Hello Doktor

Nadhirah