KUANTAN, 23 Dis (Bernama) — Sebanyak 41 Klinik Kesihatan dan Klinik Desa di Pahang terputus hubungan akibat banjir yang bermula Jumaat lepas, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Bagaimanapun, beliau berkata perkhidmatan dan petugas kesihatan di kawasan berkenaan masih berjalan seperti biasa kepada penduduk sekitar yang tidak terjejas.
“Seramai 1,671 warga jabatan kesihatan kami terjejas dengan banjir dan 552 orang daripadanya merupakan mangsa banjir.
“Meskipun dengan kekangan petugas yang ada, mobilisasi dalaman telah dilakukan bagi memastikan perkhidmatan sebahagian besar operasi berjalan seperti biasa,” katanya menerusi catatan di laman Facebook beliau hari ini.
Dr Nor Azimi turut memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menyediakan 174 pasukan perubatan dan 130 pasukan kesihatan bagi tujuan pemantauan semasa tempoh banjir ini.
Menurut beliau sehingga semalam pihaknya membuat pemeriksaan dan saringan terhadap 23,227 orang dan setakat ini tiada kejadian atau penyakit luar biasa dikesan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mangsa banjir yang berada di PPS juga dinasihat supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 manakala orang ramai diingat mendapatkan bekalan air dan makanan dari sumber yang bersih.
“Suasana PPS amat padat dan berisiko kepada jangkitan seperti cacar air, demam campak dan penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD),” katanya.
Penyakit konjunktivitis pula menurut Dr Nor Azimi mudah merebak melalui perkongsian alatan peribadi seperti tuala, bantal serta bergaul dengan individu yang bergejala sakit mata.
Air banjir yang kotor pula dikhuatiri mungkin tercemar dengan risiko jangkitan penyakit seperti leptospirosis, meliodosis, keracunan makanan, tifoid dan kolera adalah sangat tinggi.
“Amalkan kebersihan tangan dan diri serta cara pembuangan sampah yang betul. Bukan sahaja bagus untuk pencegahan COVID-19 tapi juga untuk mencegah risiko jangkitan penyakit lain seperti demam denggi dan malaria kerana kawasan bertakung air selepas banjir surut boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.
Sumber: BERNAMA