Siakap Keli

Dah Lebih 40,000 Individu Berjaya Dibantu, Ini Program Pembiayaan Khas Untuk Bumiputera Yang Ramai Patut Tahu

Boleh dikatakan, hampir semua perkara yang mahu dilakukan di atas muka Bumi ini, kita memerlukan ilmu supaya apa yang dibuat itu membuahkan kejayaan.

Tanpa ilmu, kita mungkin tidak dapat mengoptimumkan penggunaan bakat dan sumber yang ada, sekaligus merencatkan impian yang ingin digapai.

Bila bercakap soal ilmu ini, ia sangat berkait rapat dengan pendidikan. Terdapat banyak ruang dan peluang pembiayaan dan pendidikan yang ditawarkan dalam pasaran, tetapi nak mencari yang berkualiti dan bersesuaian dengan setiap individu itu bukan satu perkara yang mudah.

Di sinilah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) memainkan peranan sebagai badan yang menawarkan peluang program-program pembiayaan yang terbukti banyak membantu anak-anak Bumiputera di seluruh Malaysia.

Yayasan Peneraju merealisasi aspirasi lebih 40,000 belia harapan bangsa

Jadi, apakah sebenarnya Yayasan Peneraju ini? Untuk anda yang kali pertama mendengar nama ini, Yayasan Peneraju merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) yang dimandatkan untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat-bakat Bumiputera sejajar dengan usaha menaiktaraf Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Usaha ini dilakukan melalui penawaran program-program pembiayaan pendidikan akademik (Peneraju Tunas), pensijilan TVET (Peneraju Skil), profesional (Peneraju Profesional), teknologi (Peneraju Teknologi) dan spesialis (Peneraju Spesialis).

Setakat ini, cita-cita dan impian lebih daripada 40,000 Bumiputera berjaya direalisasikan melalui lebih 350 program-program pembiayaan Yayasan Peneraju.

Kerjasama rapat dengan industri, peluang penempatan pekerjaan lebih cerah untuk penerima faedah

Sebaik menamatkan program, anda mungkin tertanya-tanya tentang peluang pekerjaan yang ada kan?

Jangan risau, Yayasan Peneraju yang mendapat nasihat daripada Majlis Penasihat Industri Yayasan Peneraju turut bekerjasama dengan pemain industri, rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi memastikan program yang ditawarkan berkualiti tinggi dan in-demand, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran para penerima faedah.

Yang lagi menarik, penempatan pekerjaan turut disediakan kepada para penerima faedah setelah mereka tamat program. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada program-program yang dipilih dan juga prestasi penerima faedah ketika menjalani program.

Siapa yang boleh mohon & macam mana nak mohon?

Secara amnya, program-program Yayasan Peneraju adalah terbuka kepada mereka yang berumur 18 – 45 tahun merangkumi graduan baru, tenaga kerja muda dan pekerja mahir termasuk golongan yang bekerja, tidak bekerja atau kehilangan pekerjaan.

Jenis pembiayaan yang ditawarkan adalah berbentuk penuh atau separa bergantung kepada program yang dimohon. Syarat kelayakan adalah berbeza bagi setiap program dan syarat paling minimum adalah SPM sahaja .

Untuk membuat permohonan pembiayaan, mudah sahaja! Anda cuma perlu layari laman web Yayasan Peneraju di www.yayasanpeneraju.com.my.

Apa yang menarik dengan program teras Peneraju Skil?

Salah satu daripada program teras Yayasan Peneraju memfokuskan bidang TVET. Pensijilan-pensijilan yang ditawarkan adalah diiktiraf di peringkat industri dan/atau antarabangsa, relevan, seiring dengan trend pasaran pekerjaan dan berdasarkan permintaan industri agar para penerima faedah lebih future ready dan future proof.

Senarai program-program pembiayaan yang ditawarkan di bawah teras Peneraju Skil

Berikut adalah program-program pembiayaan yang masih lagi dibuka untuk permohonan:

Industri Pembuatan dan Maritim

Specialist in CAD/CAM – Advanced Computer Numerical Control & Manufacturing

Anda yang berminat dalam bidang rekabentuk 3D, ini adalah program paling sesuai untuk dipohon bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sebagai bekalan sebelum melangkah ke dalam industri.

Para peserta yang berjaya menamatkan program ini akan menerima sijil Solidwork daripada Dassault System, sebuah syarikat teknologi yang berasal dari Amerika Syarikat.

Dengan adanya sijil ini, peluang untuk anda untuk mendapatkan pekerjaan dalam industri aeroangkasa, automotif, minyak & gas, telekomunikasi dan perubatan lebih cerah. Ganji yang akan dinikmati juga lebih baik.

System Integration in Automation & Robotics

Berbeza dengan program di atas, program ini disasarkan kepada para graduan dalam bidang teknologi maklumat, kejuruteraan dan elektronik atau mana-mana individu yang kehilangan pekerjaan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Melalui program ini, mereka akan diberikan latihan selaras dengan permintaan terkini dalam bidang automasi dan robotik.

Kedua-dua program ini dikendalikan oleh Kulim Advanced Technologies dan peserta akan mendapat Sijil SIEMENS.

Dynamic Positioning Officer

Bagi pembiayaan program ini, anda yang memohon perlu memiliki Sijil Kekompetenan Deck Kelas 1,2, atau 3 yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia.

Dengan latihan dikendalikan oleh Netherlands Maritime University College (NMUC), mereka yang berjaya menamatkan program ini akan diberikan pensijilan yang diakreditasi oleh Nautical Institute of London.

Industri Minyak & Gas

Oil & Gas Talent Acceleration (Scaffolding Level 3)

Jika anda amat meminati dunia minyak dan gas, bercita-cita mahu terlibat secara langsung dalam industri ini, program ini amat sesuai untuk anda.

Dengan latihan dikendalikan oleh HRSB Training, anda akan diajar modul dan pensijilan berkaitan bidang perencah Certificate of Competency Advance Scaffolding Competency Training for Tubular and Modular Types, AESP, BRS & OGSP.

Sijil ini amat berharga dan memberi nilai tambah dalam industri minyak dan gas selain membuka jalan untuk para peserta mengembangkan kerjaya untuk dinaikkan pangkat ke penyelia, pengurus projek atau pengurus pembinaan.

Welding Inspector Level 1 (CSWIP 3.0) dan Level 2 (CSWIP 3.1)

Program ini akan dikendalikan oleh Nitkertz Academy (latihan di TW1 Malaysia Subang) dimana peserta Welding Inspector Level 1 akan memperoleh Sijil CSWIP 3.0 dan Welding Inspector Level 2 akan memperoleh Sijil CSWIP 3.1 selepas tamat program.

Sijil-sijil ini akan dikeluarkan oleh The Welding Institute (WTI). Untuk pengetahuan anda, program ini menerima permohonan sama ada peserta menganggur ataupun sedang bekerja dalam bidang berkaitan.

Industri Telekomunikasi

Fiber Optic Network Installer

Program ini merupakan salah satu inisiatif Yayasan Peneraju bagi menyahut usaha Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 2019 – 2023 bagi memenuhi keperluan negara untuk meningkatkan kualiti dan liputan jalur lebar. Peserta program akan menjalani latihan dikendalikan oleh Significant Technologies selama 3 bulan diikuti dengan 2 bulan latihan sambil bekerja (on-the-job training).

Persijilan yang akan diterima oleh peserta adalah CIDB, Sijil Kompetensi FTC, Sijil SEDA, Sijil Work from Height dan juga sijil BOSCH.

Rancangan 2022, lebih banyak industri yang akan diteroka

Anda mungkin nak tahu, takkan itu je program pembiayaan yang ditawarkan oleh Yayasan Peneraju? Macam mana kalau pemohon berminat dalam bidang lain?

Jangan risau, perkara berkenaan sudah pun dalam perancangan Yayasan Peneraju. Pada tahun 2022, lebih banyak bidang akan ditawarkan. Antaranya adalah sektor aeroangkasa, tenaga boleh diperbaharui dan sebagainya.

Semua maklumat ini akan dikongsikan oleh Yayasan Peneraju dari semasa ke semasa. Untuk memastikan anda tidak terlepas sebarang pengumuman, sila ikuti Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn Yayasan Peneraju.

Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui laman web rasmi Yayasan Peneraju.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.