KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memaklumkan bahawa pihaknya akan menggantikan semula Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan pemilik-pemilik perniagaan yang musnah akibat bencana banjir secara percuma. Penggantian semula Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan tersebut adalah melalui inisiatif ‘Pengecualian Bayaran Bagi Cetakan Perakuan Pendaftaran Kepada Pemilik Perniagaan Yang Terlibat Dengan Bencana Alam’.
Inisiatif tersebut telah diperkenalkan oleh SSM bertujuan untuk membantu pemilik perniagaan yang terlibat atau terkesan akibat bencana banjir yang telah melanda beberapa buah negeri baru-baru ini. Para pemilik perniagaan yang terkesan dengan banjir boleh mendapatkan salinan cetakan sijil berkenaan tanpa sebarang bayaran.
Pemilik perniagaan yang terkesan dengan bencana banjir boleh hadir ke kaunter perkhidmatan SSM di seluruh negara untuk mendapatkan salinan cetakan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan secara percuma. Mereka hanya perlu hadir bersama laporan polis atau dokumen berkaitan yang membuktikan bencana berlaku di premis perniagaan atau alamat kediaman pemilik perniagaan tersebut.
Tempoh pengecualian ini berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas berlakunya bencana alam.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM melalui talian 03-7721 4000 atau emel kepada [email protected].
Sumber: Malaysia Gazette