Siakap Keli

“Ada Yang Terkesan Banjir Tapi Komited Jaga Kedaulatan Negara,” ATM Jawab Isu ‘Simpan’ Aset Masa Banjir

Operasi benteng khas (OBK) yang dilaksanakan hasil keterlibatan 18 agensi di bawah National Task Force (NTF) iaitu ATM, PDRM, APMM serta pelbagai lagi agensi penguatkuasaan di Malaysia sejak 19 hingga Disember 2021 ini telah berjaya membendung gejala kemasukan PATI dan pelbagai lagi jenayah rentas sempadan.

Menurut Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM, OBK yang bertumpu di negeri Selangor itu dilakukan kerana Selangor merupakan salah satu daripada kawasan strategik yang terbuka serta hampir dengan perairan sempadan negara jiran.

“Pelaksanaan Op BENTENG KHAS (OBK) di kawasan ini adalah kerana ianya merupakan antara kawasan hotspot kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Di samping untuk memperagakan kehadiran dan kesiagaan aset komponen daratan, maritim dan udara, melalui OBK ini, kita dapat mempraktikkan Perintah, Kawalan dan Komunikasi dalam struktur Op BENTENG sedia ada, serta meningkatkan situational awareness dan land and maritime domain awareness antara agensi-agensi yang terlibat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan OP BENTENG Khas ini bertumpu di negeri Selangor adalah kerana Selangor merupakan salah satu daripada enam Paksi Ancaman Utama merangkumi aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan yang aktif di Pantai Barat Semenanjung.

“Laluan ini juga digunakan bagi aktiviti-aktiviti jenayah rentas sempadan seperti kemasukan secara haram PATI warga negara Indonesia, pengedaran terlarang (dadah) dan barangan tidak lulus cukai (rokok dan minuman keras) serta menjadi laluan kemasukan PATI Rohingya yang berada di Indonesia untuk memasuki Malaysia,” katanya.

Tambahnya, keberkesanan objektif utama penubuhan NTF dalam menyelaras dan memperkasakan operasi kawalan persempedanan daratan dan perairan negara bagi menangani kemasukan PATI dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 dapat dilihat melalui statistik kejayaan hasil daripada OP BENTENG yang dijalankan sejak ianya ditubuhkan.

“Sejak ia ditubuhkan pada 6 Mei 2020 hingga 21 Disember 2021, seramai 1,215 Tekong telah berjaya ditangkap, seramai 17,272 orang PATI dan seramai 963 orang penyeludup telah ditahan.

“Ia juga turut melibatkan rampasan kapal dan bot berjumlah 581 buah dan kenderaan darat sebanyak 2,843 buah. Kejayaan pengusiran pula seramai 2,833 orang PATI di samping 773 kapal dan bot telah berjaya diusir keluar dari Malaysia.

“Laporan penglihatan pula secara keseluruhan telah mengesan kehadiran 38,223 buah kapal dan bot di samping kenderaan darat sebanyak 624 buah. Kumulatif rampasan keseluruhan pula bernilai RM 700.05 juta,” ujarnya.

Selangor juga menjadi lokasi tumpuan kerana kebanyakan kes yang berlaku di negeri itu adalah melibatkan aktiviti cubaan menceroboh PATI yang masuk melalui laut dengan menggunakan bot nelayan tempatan dan bot nelayan asing.

 

“Setakat ini seramai 1,739 orang PATI telah memasuki negeri Selangor melalui jalan laut,” katanya.

Beliau juga turut memaklumkan bahawa semua agensi yang terlibat dalam operasi ini telah memberikan komitmen yang tinggi serta mengutamakan tanggungjawab terhadap negara walaupun ada diantara keluarga mereka terkesan dengan bencana banjir.

“Saya dimaklumkan ada di antara keluarga mereka turut terkesan dengan musibah banjir yang melanda negara namun mereka tetap komited dengan tugas yang diamanahkan kerana menjaga kedaulatan negara itu merupakan satu keutamaan bagi pasukan keselamatan,” tambahnya.

Ketika ditanya berkenaan aset banjir yang dimiliki pihak ATM untuk dikerahkan semasa bencana banjir di Lembah Klang berlaku pada baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa aset-aset yang ada tidak sesuai untuk digunakan di samping anggota yang dikerahkan adalah saki baki yang ada di pangkalan.

“Bot yang ada disini memang tidak sesuai digunakan di Selangor. Bot yang kita guna di Selangor tu adalah bot yang jenis assault bot, kecik. Yang boleh muat dalam 15 orang dan satu enjin.

“Orang yang melakukan tugas-tugas disini memang dah ditentukan. Apa yang kita kerahkan ke Ops Murni ini adalah mana yang ada di pangkalan”, ujarnya.

Selain dari itu juga, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai bahawa pihak ATM juga turut mempunyai pelbagai operasi pada masa sama sewaktu Ops Murni yang dijalankan untuk membantu mangsa banjir berlangsung.

“Ingin saya menyatakan di sini adalah apabila kita melakukan Ops Banjir atau pun Ops Murni ini, kita ingin mengingatkan kepada rakyat bahawa pada masa yang sama operasi-operasi lain pun sedang berjalan,” tegasnya.

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.