Siakap Keli
Gambar: Hello Doktor

Salah Cara Ikat Rambut Punca Rambut Bercabang, Berhenti Lakukan 5 Perkara Ini

Setiap individu sudah tentu menginginkan rambut yang sihat dan kuat. Oleh sebab itu, merawat rambut tidak boleh secara sambil lewa supaya masalah rambut dapat diatasi. Antara salah satu masalah rambut yang sering tejadi ialah rambut bercabang.

Rambut bercabang atau turut dikenali sebagai trichoptilosis secara saitifik merupakan sejenis keadaan di mana hujung rambut bercabang atau terbelah daripada satu sama lain.

Selain itu, rambut bercabang kebiasaannya akan kelihatan kering, rapuh dan rosak dan kelihatan seperti terurai menjadi dua bahagian yang lain.

Oleh itu, Hello Doktor ada berkongsikan 5 punca yang menyebabkan berlakunya rambut bercabang:

1. Penggunaan produk rambut yang salah

Produk seperti syampu, pelembap, minyak, gel atau spray rambut mungkin akan buat ia tampak lebih cantik di luar namun tidak di dalam akibat salah guna produk rambut.

Menurut Lorean Cairns, pakar hias rambut di Fox and Jane Salon dari New York, penggunaan produk rambut yang salah akan jadi punca rambut hilang nutrisi semula jadi.

 

Jika digunakan secara berpanjangan dan berterusan, maka rambut anda mungkin berisiko untuk kusut, kering, rapuh, rosak serta bercabang di bahagian hujung rambut.

2. Terlalu kerap mengeringkan rambut

Seakan sudah jadi satu tabiat buat wanita mahupun lelaki, ramai individu yang rela untuk menghabiskan banyak masa bagi mengeringkan rambut mereka menggunakan hair dryer.

Sayangnya, penggunaan alat ini bersama dengan alat hias lain seperti pelurus atau pengeriting berwap turut akan mengeringkan nutrisi dan air semula jadi yang terdapat di dalam rambut anda.

Akibatnya, penggunaan secara berulang kali di bahagian rambut sama akan jadi punca rambut bercabang di hujung selain mengundang pelbagai lagi masalah lain pada mahkota di kepala anda itu.

3. Terlalu sering mewarnakan rambut

Tidak cukup dengan melurus atau mengeriting mahkota di kepala, ramai juga individu yang gemar untuk mewarnakan rambut tanpa tahu kandungan bahan kimia di dalamnya.

Jika sesekali, mungkin tidak salah namun jika ia dilakukan dengan terlalu kerap dan salah produk maka risiko untuk hujung rambut bercabang itu berlaku adalah lebih tinggi.

Dalam usaha untuk mewarna tanpa merosakkan rambut, maka adalah sangat penting untuk kalian menggunakan serum atau vitamin pada rambut agar ia lebih sihat lagi kuat.

4. Salah cara ikat punca rambut bercabang

 

“Tabiat selalu ikat rambut di tempat yang sama setiap hari turut boleh jadi punca hujung rambut bercabang”, jelas pakar hias rambut Mackenzie Day dari The Artist Hause di Pennsylvania.

Ini kerana ikatan itu akan bawa tekanan kuat sekali gus mengurangkan ruang untuk rambut anda bernafas dan bergerak lebih-lebih lagi jika ia dalam kondisi yang sedang basah.

Untuk mengelakkan punca rambut bercabang yang ini, maka sila elak daripada mengikat rambut dan membiarkan ia lepas sahaja atau ikat dengan lebih longgar di tempat yang lain pula.

5. Tidak potong apabila sudah tiba masa

Idealnya, bahagian hujung rambut itu perlu dipotong secara rutin sekurang-kurangnya setiap enam minggu sekali atau segera potong apabila hujung rambut sudah mula rosak.

Ini adalah sangat penting agar anda dapat membuang ‘bibit-bibit’ atau cabang pada hujung rambut ini dari awal lagi atau jika tidak, ia akan mula jadi bercabang di hujungnya.

Pun begitu, adalah sangat disarankan untuk kita semua memotong rambut sekurang-kurangnya sebulan sekali kerana itu waktu yang lebih mudah untuk dihafal dan dibuat.

Bagaimana cara untuk rawat masalah ini?

 

Untuk pengetahuan anda semua, satu-satunya cara bagi merawat dan mencegah masalah mahkota di atas kepala ini adalah dengan potong hujung bahagian rambut yang bercabang.

Disebabkan itu, adalah sangat penting untuk anda mengelakkan 5 tabiat di atas tadi, dengan cara:

  • Sila menggunakan produk rambut yang tepat dan betul
  • Elak mengeringkan rambut dengan terlalu kerap
  • Hindari daripada mewarnakan rambut dengan terlalu kerap
  • Tidak mengikat rambut terlalu ketat atau ikat dengan betul
  • Potong rambut sekurang-kurangnya sebulan sekali

Konklusinya, masalah rambut ini sebenarnya mungkin boleh diatasi dengan lebih awal lagi jika tabiat-tabiat yang telah kami nyatakan di atas tadi dapat anda elak atau buang.

Sumber: Hello Doktor

Zahirah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.