Beberapa hari lalu, kita semua menyaksikan detik-detik pilu mangsa banjir di Lembah Klang dan Pahang yang terperangkap di dalam rumah masing-masing susulan daripada banjir yang melanda di kawasan perumahan mereka. Ada yang terperangkap selama sehari sebelum diselamatkan oleh orang awam dan penyelamat.
Ketika itu, media sosial terutama Facebook dan Twitter dipenuhi dengan mesej atau kiriman daripada mangsa yang memohon agar diselamatkan dengan segera. Situasi ini memperlihatkan betapa pentingnya penggunaan telefon bimbit ketika berlaku bencana atau sebarang kecemasan
Walau bagaimanapun, ada satu masalah yang tentunya akan timbul apabila berada dalam keadaan kecemasan iaitu bateri telefon yang terhad dan cepat habis. Tambah lagi panik, powerbank juga sudah kehabisan bateri dan bekalan elektrik turut terputus. Dalam keadaan ini, apa yang boleh kita lakukan?
Jangan mudah berputus asa kerana anda tetap boleh mengecas telefon dengan menggunakan charger kereta. Menerusi video yang dimuatnaik oleh Berani Buat di YouTube, charger kereta mempunyai dc converter dan voltage regulator yang berfungsi untuk mengecas telefon.
Macam mana nak guna charger tersebut? Langkah utama yang anda kena lakukan ialah dengan menyambungkan wayar ke terminal positif dan negatif. Bila sudah sambungkan, ia berfungsi sebagai USB yang boleh mengecas telefon atau powerbank. Namun, ia memerlukan sumber tenaga minimum sebanyak 5 watt untuk mengecas telefon.
Terdapat empat sumber tenaga yang boleh digunakan untuk menghidupkan charger tersebut iaitu:
- Bateri double A
- Bateri kotak
- Bateri kereta atau motosikal
- Solar panel
Nak tengok macam mana cara guna? Jom tonton video Berani Buat di bawah ini. Semoga bermanfaat.
Sumber: Berani Buat