Siakap Keli
Gambar: Khadijah Hidayah

(Video) “Semoga Selamat Sampai”, Balas Balik Jasa, Konvoi Dari Kuala Krai Turun Ke Selangor, Bantu Mangsa Banjir

Tragedi bencana banjir yang melanda negara pada baru-baru ini benar-benar telah membuka mata ramai pihak untuk membantu mereka yang terkesan.

Bencana banjir ini juga telah mula menontonkan pelbagai hikmah antaranya ialah sifat tolong menolong, bersatu padu dan murah hati seluruh rakyat Malaysia.

Ianya terbukti apabila media sosial dibanjiri dengan pertolongan yang disalurkan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam pelbagai cara.

Ada yang menghebahkan keperluan, ada yang menyumbangkan bantuan daripada segi kewangan, ada yang menyumbangkan bantuan dari segi tenaga dan ada juga yang menyumbangkan pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir.

Seperti ramai yang ketahui, lazimnya negeri-negeri yang akan mengalami banjir buruk pada setiap tahun adalah negeri yang terletak di pantai timur.

Rakyat Malaysia yang bermurah hati terhadap nasib mangsa yang terjejas di negeri tersebut sentiasa menyumbangkan pelbagai sumbangan dalam pelbagai bentuk.

Namun banjir pada kali ini betul-betul tidak dijangka apabila negeri Kuala Lumpur dan Selangor juga turut dilanda dengan banjir yang teruk.

Ekoran daripada banjir yang berlaku di Lembah Klang pada baru-baru ini, warga pantai timur telah terjentik untuk membalas jasa mereka yang berada di Lembah Klang yang selalu memberikan sumbangan terhadap rakyat di negeri pantai timur.

Satu video yang memaparkan konvoi daripada Kuala Krai yang dikongsikan oleh pengguna Facebook bernama Khadijah Hidayah telah menjadi tular di media sosial.

Video tersebut menunjukkan barisan kenderaan yang banyak terdiri daripada kenderaan berpacuan empat roda dan lori yang membawa barangan keperluan sedang dalam perjalanan untuk ke negeri Selangor bagi membantu membalas jasa baik warga Selangor yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan ketika negeri di pantai timur ditimpa musibah.

Video tersebut terbukti menunjukkan sifat rakyat Malaysia yang murni dan bersatu padu dalam menghadapi dugaan.

Video yang berdurasi selama 51 saat itu telah menjadi tular di media sosial. Sehingga kini, ianya telah ditonton lebih 200 ribu kali.

 

 

Sumber: Khadijah Hidayah

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.