Setiap hari ada sahaja barang yang digerit tikus sampaikan dah tak ada tempat selamat untuk simpan barang makanan. Silap haribulan, almari lauk pun dirobeknya.
Bagi anda yang berpengalaman ‘bermusuh’ dengan tikus di kediaman, pasti terbiasa berhadapan situasi ini. Malah, ada masanya lagi dibasmi, lagi melawan haiwan perosak bernama tikus ini.
Justeru, kami ingin kongsikan lima jenis bahan di rumah anda yang insyaAllah berkesan menghalau tikus. Jom teruskan bacaan anda di bawah.
1. Kayu manis
Kayu manis merupakan ramuan penting dalam pelbagai jenis masakan berempah. Baunya mungkin boleh membuka selera kita, namun tidak bagi tikus. Kongsi Kompas.com, anda boleh menabur serbuk kayu manis atau letakkan sahaja bahan ini di laluan tikus untuk menghalaunya.
2. Cili atau cili kering
Cili yang pedas dipercayai boleh menjadi salah satu bahan penghalau tikus di rumah anda. Menurut Kompas.com, anda boleh membuat larutan cili dan semburkan pada kawasan sering dikunjungi haiwan tersebut. Malah, anda juga boleh menabur serbuk cili kering bagi menghindari si tikus daripada memasuki rumah anda.
3. Pudina
Dengan baunya yang kuat dan segar, daun pudina didakwa merupakan daun yang dibenci haiwan perosak ini. Anda boleh menanam pokok pudina di luar rumah dan menggunakan daunnya sebagai penghalau tikus. Caranya, letak daun pudina di atas meja atau lokasi sering dilawati tikus, biarkan aromanya memenuhi segenap ruang dan dijauhi haiwan tersebut. Anda juga boleh mengoles minyak pudina pada perabot atau kawasan yang sering menjadi tumpuan si tikus di rumah anda.
4. Ubat gigi
Jika anda tiada daun pudina, ubat gigi adalah bahan menyegarkan yang boleh dijadikan pengganti. Mudah sahaja caranya. Kongsi Pest Pointer, anda hanya perlu mengoles ubat gigi pada lubang-lubang tikus serta kabinet dapur bagi menghalau makhluk tersebut.
5. Cuka
Bukan sahaja boleh menghalau kucing yang bertandang membuang najis di rumah anda, menurut Pest Pointer, cuka juga dibenci tikus kerana baunya yang kuat. Justeru, ia merupakan bahan yang ampuh dalam membasmi haiwan ini terutamanya jika tidak dilarutkan dengan sebarang cairan. Pun begitu ingin diingatkan, bau cuka yang kuat juga mungkin tidak menyenangkan bagi anda.
Sumber: Kompas.com, Pest Pointer