KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera merupakan aplikasi paling penting pada masa kini bagi membantu semua pihak untuk mengesan penularan wabak Covid-19 di kawasan sekitar. Terbaharu, aplikasi MySejahtera ditambah satu lagi ciri tambahan bagi membolehkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menulis dalam akaun Twitter miliknya bahawa ciri terbaharu yang dikenali sebagai MySejahtera Trace (MySJ Trace) bolehdikemaskini bermula hari ini.
Dalam catatan terbaharu di akaun Twitter miliknya itu, Khairy menambah bahawa ‘MySJ Trace’ hanya memerlukan pengguna untuk menggunakan teknologi bluetooth sahaja untuk mengesan kontak rapat bagi pengguna lain yang juga mengguna ciri yang sama.
“Ciri tersebut akan memberi maklumat secara ‘live’ bilangan interaksi dengan pengguna lain yang juga aktifkan MySJ Trace,” katanya.
“Sudah boleh dikemaskini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update baharu ini,” katanya.
Selain itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan bersama hari ini turut memmberitahu bahawa fungsi baharu itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate and Support (FTTIS).
“Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa. Apabila seorang individu itu disahkan positif COVID-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan,” katanya.
https://twitter.com/Khairykj/status/1474929081665810435
Sumber: Astro Awani