Siakap Keli
Gambar via Facebook

(Video) Perlukan ‘Man Power’ Di Kampung Sekitar Mentakab, Bantu Bersihkan Rumah Orang Tua Dan OKU

Seperti yang kita tahu, beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dilanda bencana banjir baru-baru ini.

Antara kawasan yang terjejas teruk termasuk sebahagian daerah di Pahang. Pun begitu, keadaan banjir di beberapa kawasan terlibat dilaporkan beransur pulih dan kini bantuan pasca banjir sedang giat disalurkan.

Menurut salah seorang penduduk terjejas banjir di daerah Mentakab, bantuan pasca banjir yang kini sangat diperlukan adalah tenaga kerja di samping sokongan moral dan barangan keperluan. Katanya, banyak isi rumah yang terdiri dari golongan asnaf, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di kawasan kampung tidak mampu untuk membersihkan rumah sendirian.

Oleh itu, lelaki yang dikenali sebagai Azman ini merayu para sukarelawan untuk turut sama menumpukan bantuan tenaga kerja untuk membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir di kawasan kampung.

“Untuk yang akan datang beri bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, lebih digalakkan untuk tumpukan dari segi tenaga kerja.

“Saya sarankan yang mana datang bantu tu, masuklah kawasan kampung sekitar bandar Mentakab.

“Di kawasan taman perumahan bukan tak digalakkan, tapi terlalu tumpu di situ, di kawasan kampung terbiar.

“Mereka yang ada di kampung seperti golongan asnaf, warga emas dan OKU memang terabai.

“Ada yang sampai tiga empat hari termenung fikir daripada mana nak mula bersihkan rumah,” katanya.

Dalam video yang diunggah oleh pengguna Facebook Muhd Fauzi itu, Azman turut menunjukkan keadaan rumah salah seorang golongan asnaf yang terjejas banjir di Mentakab. Dikatakan isi rumah berkenaan terdiri dari seorang isteri, suami yang sakit dan anak yang masih kecil.

Tambah Azman, setakat ini masih ada kawasan di sekitar Mentakab yang diputuskan bekalan elektrik atas faktor keselamatan. Oleh itu, para sukarelawan pasca banjir digalakkan untuk membawa bersama generator dan water jet bagi membantu mempercepatkan proses pembersihan rumah-rumah mangsa.

Sumber: Muhd Fauzi

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.