Siakap Keli
Gambar via Facebook

Tular Video Majlis Kahwin Selebriti Didakwa Tak Patuh SOP, Polis Akan Kesan Individu Yang Hadir

Pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung satu video tular di Facebook bedurasi 41 saat yang memaparkan majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai majlis perkahwinan terbabit yang berlangsung di sebuah vila di Genting Highlands, Bentong Pahang kira-kira jam 8.30 malam pada 15 Disember lalu.

”Menerusi video tersebut mendapati terdapat tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial.

”Keadaan tersebut dilihat telah melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, susulan itu pihak polis akan mengesan dan mengenalpasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan tersebut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Perkara 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Dalam masa yang sama, Zaiham meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sumber: Polis Bentong

Eyla Azri