Siakap Keli
Gambar hiasan via HelloDoktor

Usia Masih Muda Tapi Dah Ada Penyakit Darah Tinggi? Ini 5 Cara Mudah Untuk Turunkan Tekanan Darah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi adalah satu keadaan di mana tekanan darah pesakit melebihi tahap normal, iaitu lebih dari 140mmHg untuk sistolik dan lebih 80mmHg untuk diastolik.

Di Malaysia, kira-kira 37 peratus daripada populasi penduduk menghidapi penyakit berbahaya yang boleh membawa maut ini. Penyakit ini bukan hanya dialami oleh mereka yang sudah berusia, tetapi kini semakin ramai golongan muda yang menderita akibat hipertensi.

Apa yang lebih menakutkan, ia boleh menjadi punca kepada kegagalan atau kerosakan organ seperti jantung, otak dan ginjal untuk berfungsi secara baik, lantas mengakibatkan risiko serangan jantung atau strok.

Jadi, bagaimana caranya untuk menurunkan darah tinggi di usia muda? Ikuti tips yang dikongsikan oleh portal kesihatan Hello Doktor seperti di bawah.

Apa punca tekanan darah tinggi?

Secara umumnya, penyakit hipertensi tidak mempunyai penyebab yang khusus.

Tekanan darah boleh meningkat dalam beberapa keadaan tertentu seperti kepenatan, kesakitan, kegelisahan atau selepas melakukan aktiviti fizikal.

Walau bagaimanapun, individu tidak akan dianggap menghidapi hipertensi jika tekanan darahnya mampu kembali ke tahap yang normal.

Jadi, untuk mengetahui jika anda sendiri menghidapi penyakit ini, sila dapatkan diagnosis daripada doktor dalam jangka masa sekurang-kurangnya 3 hingga 6 bulan sekali.

Pun begitu, ada beberapa faktor yang sering dikaitkan dengan penyakit tekanan darah tinggi termasuklah:

  • Sejarah ahli keluarga
  • Jantina (lelaki lebih berisiko berbanding wanita)
  • Umur (lebih tua, lebih berisiko)
  • Stres
  • Obesiti
  • Diabetes
  • Tahap kolesterol dalam badan tinggi
  • Merokok
  • Pemakanan
  • Pengambilan alkohol secara berlebihan
  • Pengambilan garam & lemak secara berlebihan
  • Pola tidur tidak teratur
  • Gaya hidup sedentari
Gambar hiasan via HelloDoktor

Apa komplikasi tekanan darah tinggi?

Secara umumnya, hipertensi boleh mengakibatkan tekanan atau bebanan kepada organ dalam badan sekali gus merosakkannya.

Ia seterusnya akan menyebabkan beberapa kondisi kesihatan seperti:

  • Strok
  • Penyakit jantung seperti penyakit jantung koronari, kegagalan jantung kongestif, hipertropi ventrikular kiri
  • Komplikasi pada mata
  • Komplikasi pada buah pinggang
  • Aneurisma

Dalam erti kata yang lebih mudah, penyakit tekanan darah tinggi ini memang berbahaya jika tidak dikesan dan dikawal dengan kadar segera.

Jadi, sesuatu perlu dilakukan untuk mencegah penyakit ini daripada menjadi lebih teruk.

Cara menurunkan darah tinggi di usia muda.

Berikut merupakan beberapa cara menurunkan darah tinggi di usia muda:

1. Elakkan stres berlebihan 

Ya, dengan tekanan hidup zaman sekarang yang semakin tinggi dan kuat dalam kehidupan seorang anak muda, agak sukar untuk merealisasikan hasrat ini.

Pun begitu, anda perlu tahu bahawa stres adalah antara punca utama hipertensi berlaku.

Jadi, anda perlu cuba sedaya upaya untuk menjauhkan diri dari sebarang tekanan serta dapatkan rehat dan tidur yang mencukupi untuk meminimumkan risiko anda menghidapi penyakit tekanan darah tinggi.

2. Kawal berat badan

Umum mengetahui bahawa obesiti juga adalah faktor risiko penyakit tekanan darah tinggi berlaku.

Jadi, cara menurunkan darah tinggi di usia muda adalah jaga berat badan anda.

Maksudnya di sini adalah anda perlu sentiasa memiliki berat badan yang ideal – seimbang BMI.

Untuk mengetahui berapakah berat badan yang anda perlu dapatkan, sila klik pautan berikut: https://wp.hellodoktor.com/ms/alatan-ukur-kesihatan/kalkulator-bmi/

Gambar hiasan via HelloDoktor

3. Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang 

Bersesuaian dengan niat anda untuk mengawal berat badan, anda perlu menjaga pemakanan anda.

Banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran serta kurangkan makan makanan yang bergoreng, bergaram dan berlemak tinggi serta yang mengandungi bahan pengawet.

Dalam pada itu, anda juga perlu hadkan atau berhenti terus dari mengambil alkohol. Seperti mana yang anda sudah tahu, ia adalah antara faktor risiko hipertensi.

4. Lakukan banyak aktiviti fizikal 

Aktiviti fizikal di sini bermaksud anda perlu bersenam atau bersukan sekurang-kurangnya 30 minit dalam sehari sebagai usaha atau cara menurunkan darah tinggi di usia muda.

Ia mungkin akan mendatangkan kesan yang perlahan namun berkesan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh American College of Sports Medicine (ACSM), aktiviti fizikal secara sederhana seperti berjalan, berjoging atau melakukan kerja-kerja rumah sahaja sudah mampu untuk menurunkan tekanan darah anda.

Dalam pada itu, anda juga boleh membuat latihan kardiovaskular seperti berlari atau berenang sebagai rutin harian anda untuk melancarkan perjalanan darah dan meningkatkan kapasiti paru-paru serta menambah baik kesihatan jantung.

5. Berhenti merokok

Tahukah anda bahawa nikotin dan pelbagai lagi racun berbahaya yang terdapat dalam rokok tembakau dan rokok elektronik boleh jadi punca saluran darah anda menjadi sempit?

Ini sekali gus akan mengakibatkan tekanan darah anda meningkat. Ini bukan sahaja boleh berlaku kepada perokok tegar sahaja ya! Perokok pasif juga turut ada risikonya.

Jadi, sentiasa amalkan 5 cara menurunkan darah tinggi ini untuk meminimakan risiko hipertensi dalam usaha mengejar kehidupan yang lebih sihat.

Sumber: HelloDoktor

Aireena Marizan

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.