Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Kerajaan Umum Bantuan Wang Ihsan RM 1000 Untuk Ketua Isi Rumah Mangsa Banjir

Susulan bencana banjir yang melanda di beberapa negeri minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) untuk kematian kepada waris mangsa banjir sebanyak RM10,000 dan RM1,000 bagi ketua isi rumah yang terlibat dalam bencana itu.

Bagi ketua isi rumah mangsa banjir, semua layak menerima bantuan RM1,000 tidak kira sama ada berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak. Bayaran itu juga akan diberi setiap kali ditimpa bencana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang telah pun bermula pada 27 Disember yang lalu dan dijangka selesai minggu ini.

Bagaimanapun, menurutnya Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan petang ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir  dan menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan sama.

Peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak.

Setakat 27 Disember lalu, Bernama melaporkan bahawa seramai 48 orang telah terkorban dalam kejadian banjir di seluruh negara manakala lima lagi masih hilang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala di Pahang seramai 20 dan Kelantan tiga mangsa.

Sumber: Jabatan Perdana Menteri, BernamaTV

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.