Seorang lelaki yang merupakan pemilik bengkel kereta di Gangsa Durian Tunggal telah menjual sebuah Proton Iswara Aeroback terpakai kepada seorang warga emas dengan harga RM1 sahaja, lapor Sinar Harian.
Menurut laporan, pemilik Makdad Workshop, Shikh Muhammad Makhdad Haron, 48, menjual kereta tersebut kepada seorang penjual roti canai segera, Isa Abdul Ghani, 72.
Shikh Muhammad memberitahu bahawa hatinya tersentuh apabila mengetahui mengenai kisah kesempitan hidup warga emas tersebut setelah dimaklumkan oleh rakannya.
Warga emas itu yang menyara hidup dengan menjual roti canai segera di kedai-kedai dan kantin sekolah, mengalami kesukaran untuk menghantar barang jualannya kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri.
Kata Shikh Muhammad, wang RM1 itu hanyalah sekadar simbolik untuk menginfakkan kereta berkenaan agar dapat membantu Isa menghantar tempahan roti canai segera yang dijualnya.
“Sebelum ini, pak cik Isa mempunyai sebuah kereta tetapi terpaksa dijualnya kerana sering mengalami kerosakan. Dengan kelebihan dan kemahiran yang ALLAH SWT berikan kepada saya sebagai seorang pemilik bengkel kereta, saya terpanggil untuk membantunya walaupun nilainya tidak seberapa,” katanya memetik Sinar Harian.
Difahamkan, Proton Iswara Aeroback itu merupakan kenderaan ketiga yang telah diinfakkan oleh Shikh Muhammad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Ngah kepada golongan kurang bernasib baik.
“Sebelum ini, saya infakkan sebuah kereta kepada seorang ibu tunggal yang mempunyai anak ramai dan hanya bergerak menggunakan motosikal,” katanya.
Summer: Sinar Harian